X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja diberkas seludup rokok

Remaja berusia 16 tahun disyaki menyeludup 20 kotak rokok yang belum lulus Kastam.
A
A

TAWAU - Eastern Sabah Security Command (Esscom) mematahkan cubaan menyeludup rokok belum lulus Kastam di kawasan Felda Tengah 01, Kalabakan di sini pada awal pagi Khamis.

Komandernya, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 16 tahun kerana disyaki menyeludup 20 kotak rokok yang belum lulus Kastam.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota keselamatan diketuai oleh Esscom membuat serbuan terhadap sebuah perumahan kongsi kayu pekerja di Felda Tengah 01, Kalabakan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap rumah tersebut menemukan sebuah kotak berwarna coklat yang disembunyikan di bawah tangga menuju ke arah ruang dapur.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kotak tersebut menemukan 20 karton rokok jenis LA Menthol Lights yang disyaki belum lulus Kastam bernilai lebih RM1,000," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fuad berkata, rokok seludup berkenaan disyaki diseludup untuk dipasarkan di Felda Kalabakan dan kawasan sekitar.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, beliau merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang sentiasa bekerja keras membanteras perbuatan jenayah di negeri Sabah.

Tegasnya, Esscom akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah serta membanteras aktiviti penyeludupan migran.

"Kami bertekad untuk terus mematahkan cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah, selain memantau pergerakan kegiatan Kidnapping for Ransom Group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini," katanya.

Tambah beliau, operasi seumpama itu akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti menerusi kerjasama dan sokongan bersama daripada semua pasukan keselamatan di kawasan Esszone.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!