X

Kindly register in order to view this article
!

40 peratus penduduk dewasa Johor terima vaksin menjelang 31 Ogos

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama warga emas yang sedang menjalani proses pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin di Dataran Felda batu 27 Pagoh, hari ini.
 Foto Bernama
A
A

MUAR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan menyasarkan untuk menvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk dewasa di negeri Johor menjelang 31 Ogos ini dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba supaya meneliti program vaksinasi di Johor.

Beliau berkata, ini juga susulan kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri ini yang masih rendah.

"Saya lihat di Johor ini masih di bawah (kadar vaksinasi) berbanding sesetengah negeri yang sudah lebih 60 hingga 70 peratus.

"Jadi, yang terkini, menteri telah mengadakan perbincangan dengan menteri besar dan dikatakan sekurang-kurangnya 1.5 juta dos akan dihantar ke Johor," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga Pagoh dekat sini pada Khamis.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 1.7 juta dos vaksin dihantar ke negeri Johor dan bekalan vaksin itu akan membolehkan peningkatan kapasiti 70,000 dos sehari berbanding 50,000 dos ketika ini.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan menteri berkenaan untuk mengadap Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Tambah beliau, isu kadar vaksinasi yang rendah berlaku ekoran bekalan vaksin yang ditempah kerajaan tidak sampai mengikut waktu yang dijadualkan.

"Jadi, kadang-kadang jawatankuasa di bawah menteri-menteri ini terpaksa membeli tambahan (vaksin) daripada syarikat tempatan Pharmaniaga untuk menampung kalau ada kelompongan (kerana) bekalan tidak sampai.

"Dari sudut bekalan sepatutnya kita tidak mempunyai masalah kerana kita sudah menempah lebih daripada 130 peratus keperluan negara, bermakna sudah ada lebihan tetapi ia tidak sampai dalam jadual waktu (masa) yang kita nak," katanya.

Beliau berkata, masalah perolehan itu antaranya ekoran permintaan di peringkat global yang amat tinggi.

Muhyiddin berkata, secara keseluruhan, Malaysia telah berjaya melakukan vaksinasi pada tahap yang membanggakan.

"Kita akan tingkatkan lagi (vaksinasi) dan dengan peningkatan vaksinasi, maka ekonomi kita akan buka," katanya.

Pada lawatan berkenaan sekumpulan penduduk tempatan sebelum itu menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dengan menunjukkan plakad antaranya berbunyi 'Generasi Kedua Felda Menyokong Tan Sri Muhyiddin' dan 'Terima kasih PM lupuskan hutang peneroka Felda'. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!