Tiga lagi ahli Parlimen dirakam keterangan

Johari dan Kasthuri hadir ke IPD Dang Wangi di sini pada Khamis.
Johari dan Kasthuri hadir ke IPD Dang Wangi di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lagi ahli Parlimen pembangkang dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini secara berperingkat pada jam 10 pagi Khamis.

Johari berkata, beliau tidak menjawab apa-apa soalan yang ditanya oleh pegawai penyiasat kerana apa juga jawapannya akan diguna di mahkamah nanti.

"Saya akan jawab di mahkamah, saya berterima kasih kepada pegawai penyiasat kerana memberi layanan baik," katanya kepada media di hadapan IPD Dang Wangi pada Khamis.

Sementara itu, Kasthuri berkata, beliau juga tidak menjawab soalan pegawai penyiasat berhubung isu perhimpunan ahli Parlimen pembangkang.

"Saya akan jawab di mahkamah, saya juga harap polis akan menjalankan siasatan mereka dengan penuh amanah dan profesional... siasat semua ahli Parlimen yang didakwa turut berkumpul di 'lokasi' lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan masih diteruskan.

"Saya percaya lebih ramai akan hadir untuk membantu siasatan himpunan itu dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu rekod percakapan mereka pun perlu lihat kesesuaian dan kelapangan masa ahli Parlimen terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, enam ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah hadir ke IPD Dang Wangi memberi keterangan.

Dalam kenyataan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Selasa memaklumkan pihaknya menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang itu.

"Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Kesalahan-Kesalahan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Selain itu, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.