X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah larang aktivis buat kenyataan berhubung kes T. Nhaveen

A
A

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengeluarkan perintah larangan terhadap aktivis Arun Doraisamy daripada membuat sebarang kenyataan awam berhubung perbicaraan kes mangsa buli T. Nhaveen yang sedang berlangsung.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid dalam keputusannya menjelaskan, setiap kenyataan yang dibuat oleh Arun, sama ada di media sosial atau di khalayak ramai akan mempengaruhi perbicaraan kes bunuh itu.

Oleh itu, katanya Arun dilarang membuat kenyataan awam di media sosial atau dalam mana-mana medium, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan sehingga kes itu (Nhaveen) selesai.

“Mahkamah ini mengakui anda mempunyai hak untuk kebebasan bersuara bagaimanapun, setiap kenyataan mesti mempunyai unsur tanggungjawab, anda tidak boleh membuat pertimbangan prapenghakiman semasa perbicaraan,” katanya.

Orang ramai ujarnya, harus yakin dan menghormati fungsi mahkamah dan kuasa badan kehakiman.

Kegagalan mematuhi perintah dianggap sebagai menghina mahkamah.

Pada Julai lepas pihak pendakwaan menfailkan permohonan perintah larangan terhadap Arun.

Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, Yazid Mustaqim Roslan dan Noor Azura Zulkiflee manakala Arun diwakili peguam Arun Ganesh Boopalan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!