Tiga Budak Gemok fail saman terhadap tiga pihak

Foto sumber internet
Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga Budak Gemok Sdn Bhd yang merupakan peneraju nasi ayam kicap di Malaysia memfailkan saman injunksi terhadap seorang individu dan dua syarikat selepas didakwa menggunakan menu dan logo yang sama bagi menjalankan perniagaan mereka.

Wakilnya, Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates selepas mendapati ketiga-tiga mereka melanggar hak cipta serta gangguan perdagangan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, dalam writ saman itu, pihaknya menamakan bekas suami pengarah syarikat tersebut, Mohd Anil Ali Mohamad, Maam Baraka Venture Sdn Bhd dan Day Food Industry Sdn Bhd sebagai defendan.

“Saman ini dibuat selepas pihak kami mendapati ketiga-ketiga pihak tersebut melakukan satu perniagaan yang dinamakan '3BG Ayam Kicap Sambal Power' atau '3BG' yang meniagakan makanan yang sama.

“Tindakan mereka telah menyebabkan kekeliruan kepada orang awam kerana sebelum ini kami pernah menggunakan nama singkat 3BG di dalam perniagaan, namun ia tidak digunakan secara meluas di dalam perniagaan kami.

“Maka, sebarang penggunaan nama 3BG apatah lagi 3BG Ayam Kicap Sambal Power boleh membawa representasi dan kefahaman bahawa ‘3’, ‘B’ dan ‘G’ membawa erti Tiga Budak Gemok iaitu perniagaan syarikat,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Khamis.

Tambah Khairul Anuar, logo lama Tiga Budak Gemok dan logo 3BG atau 3BG Ayam Kicap Sambal Power adalah serupa jika dibandingkan bersebelahan dan turut menimbulkan kekeliruan ataupun representasi bahawa ia adalah seperti penjenamaan semula perniagaan pihaknya.

“Perkara ini menimbulkan masalah lagi apabila terdapat aduan-aduan daripada pembeli makanan perniagaan 3BG berkenaan kualiti sajian makanan mereka, namun diadukan kepada pihak syarikat atau dinyatakan makanan yang dibeli oleh mereka adalah makanan Tiga Budak Gemok sedangkan kedua-duanya adalah dua perniagaan yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Lebih mengejutkan apabila dalam carian cap dagangan di MyIPO, Mohd Anil telah mendaftarkan cap dagangan 'Tiga Budak Gemok Ayam Kicap Sambal Power' sebagai hak miliknya pada 31 Oktober 2019 dan telah diluluskan pada 26 November 2020 tanpa kebenaran syarikat,” katanya.

Dalam pada itu jelas Khairul Anuar, disebabkan tindakan yang dilakukan oleh ketiga-ketiga pihak itu, perniagaan 3BG semakin meluas diniagakan di seluruh Malaysia dan perniagaan tersebut membuat representasi bahawa mereka meniagakan makanan sajian Tiga Budak Gemok.

Tambahnya, syarikat tidak pernah membuat penjenamaan perniagaan semula daripada Tiga Budak Gemok kepada 3BG yang kini dijalankan oleh ketiga-tiga pihak itu atau mana-mana ejen mereka.

“Pihak kami memohon agar orang awam yang ingin membeli sajian makanan Tiga Budak Gemok pastikan memperolehnya daripada cawangan-cawangan rasmi kami.

“Kami juga memohon orang ramai sekiranya mendapati atau musykil dengan mana-mana perniagaan yang menggunakan logo perniagaan Tiga Budak Gemok selain daripada cawangan rasmi boleh membuat aduan dan pertanyaan di laman sesawang rasmi atau media sosial rasmi syarikat,” katanya.