Tutup Parlimen tapi ahlinya bebas ke sana ke sini: Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan kerajaan menutup Parlimen selama dua minggu bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19, namun dalam masa sama ahlinya masih bebas untuk ke mana-mana.

Menurut ahli Parlimen Pekan itu, tindakan tersebut dilihat tidak masuk akal dan bukan berpandukan kepada sains dan data.

"Adakah dewan kosong yang menjangkit ataupun manusia terdedah kepada risiko Covid-19 yang menjangkit?

"Jadi, kenapa pula kerajaan kuarantinkan Dewan Rakyat yang kosong untuk dua minggu tetapi ahli-ahli Parlimen yang terdedah dibenar ke sini dan ke sana termasuk menghadap Tuanku, masuk pejabat dan berkali-kali mesyuarat malam di rumah pula?

"Data dan sains siapakah yang mendorong keputusan ini? " soalnya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada 1 Ogos, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai lalu bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, hasil penilaian risiko yang dilakukan selepas mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi untuk menyebarkan wabak itu.

Dalam pada itu Najib berpendapat, keputusan 'pelik' itu merupakan antara punca kes jangkitan Covid-19 menjadi semakin parah sehingga menjadi antara paling parah di dunia dari segi saiz penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Covid-19 boleh membiak seperti lipas dalam dewan kosong ke?

"Sekiranya ahli-ahli Parlimen yang terdedah sudah lama bebas ke mana-mana, maka ia selamat untuk membuka semula Parlimen sekarang juga sebab dewan kosong tidak menjangkit sesiapa," katanya.