Kerjasama empat universiti kaji, bangunkan Sungai Kim Kim

Empat universiti menerusi inisiatif Universiti untuk Masyarakat (U4S) akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan membangunkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.
Empat universiti menerusi inisiatif Universiti untuk Masyarakat (U4S) akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan membangunkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat universiti tempatan menerusi inisiatif Universiti untuk Masyarakat (U4S) akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan membangunkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengetuai kerjasama itu bersama-sama Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM, Profesor Madya Dr Johari Surif berkata, inisiatif yang dinamakan inisiatif U4S Zon Selatan: Kelestarian Sungai Kim-Kim itu fokus kepada agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan masyarakat di kawasan kritikal.

"Buat masa kini tumpuan akan diberikan kepadanya kawasan di Pasir Gudang. Tujuannya adalah bagi memelihara, memulihara dan seterusnya melestarikan sungai yang merupakan nadi kehidupan manusia.

"Selaras dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari universiti, UTM akan menyumbangkan kepakaran daripada aspek 'eco-park' dan 'nature river engineering' dengan menjalankan pembangunan Taman Eko di Sungai Kim Kim," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi moderator dalam Program Webinar secara dalam talian U4S: Kelestarian Sungai Kim Kim dan Masyarakat melalui platform media sosial.

Dr Johari berkata, UTHM akan memberi fokus ke arah skop pendidikan masyarakat setempat melalui program pendidikan sungai dengan tema 'Conserve the Nature, Love the River'.

"UTeM pula akan membantu daripada segi program pemindahan aspek pengetahuan dan teknologi dalam 'Smart River Robot Challenge' dengan mencipta robot pembersihan dalam sungai manakala USIM pula membantu menstabilkan emosi dan semangat masyarakat terlibat melalui pelbagai program latihan seperti 'Psychological Aid Guide' kepada guru dan pelajar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya akan bekerjasama pelbagai agensi lain dalam menjayakan hasrat berkenaan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.

"Kita akan turut melibatkan kerjasama pihak industri sekitar untuk berganding bahu memastikan perubahan kesejahteraan alam sekitar ke arah kebaikan dan keharmonian masyarakat bersama," katanya.