Dua premis perniagaan beroperasi tanpa kebenaran diarah tutup

Anggota penguat kuasa MKN semasa membuat pemeriksaan di sebuah premis di Seremban 2 pada Khamis.
Anggota penguat kuasa MKN semasa membuat pemeriksaan di sebuah premis di Seremban 2 pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Dua premis perniagaan di sekitar Seremban 2 di sini diarah tutup serta-merta setelah didapati berniaga tanpa kebenaran pada Khamis.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd Hamid berkata, kedua-dua premis itu dikesan menjalankan perniagaan ketika operasi penguatkuasaan dan pematuhan diadakan di daerah ini.

Menurutnya, premis tersebut juga bukan di bawah sektor perkhidmatan perlu, seperti yang telah ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Pertama yang dikemas kini bertarikh 4 Ogos.

"Satu operasi penguatkuasaan dan pematuhan SOP PPN Fasa 1 telah dijalankan ke atas beberapa premis perniagaan sekitar Seremban 2.

"Hasil operasi ini, dua arahan penutupan premis perniagaan secara serta-merta telah dikenakan kerana menjalankan operasi di bawah sektor bukan perkhidmatan perlu seperti yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua pihak sentiasa prihatin dan mematuhi SOP yang berkuat kuasa.

Jelas Roslin, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar SOP ditetapkan oleh kerajaan.

"Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan dalam membendung, mengawal serta mencegah penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: