X

Kindly register in order to view this article
!

Semua negeri berdepan cabaran dalam tangani impak Covid-19: DOSM

Mohd Uzir
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada keseluruhannya menguncup pada kadar 5.6 peratus pada tahun lalu.

Ia merupakan kedudukan kedua terendah selepas tahun 1998 yang merekodkan penyusutan 7.4 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kemerosotan itu didorong oleh krisis kesihatan berikutan penularan Covid-19 sehingga meninggalkan impak mendalam terhadap landskap sosioekonomi negara.

Menurutnya, ia ditambah lagi dengan pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut membataskan aktiviti rentas negeri serta penutupan sempadan antarabangsa merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Industri berasaskan pelancongan adalah yang paling jelas menerima impak daripada pelaksanaan PKP ini seperti perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

"Penularan pandemik yang turut membelenggu rakan dagang utama Malaysia telah menjejaskan permintaan barangan dan perkhidmatan, seterusnya memberi kesan kepada prestasi eksport negara," katanya ketika membentangkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2020 secara maya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran turut mencatatkan peningkatan kerana dipengaruhi pelaksanaan pemberhentian pekerja oleh organisasi perniagaan yang terjejas bagi mengekalkan kelangsungan pengoperasian mereka.

Jelasnya, dari sudut pencapaian ekonomi, meskipun semua negeri merekodkan pertumbuhan negatif, lapan negeri mencatatkan magnitud pertumbuhan lebih baik berbanding penguncupan 5.6 peratus yang dicatatkan di peringkat nasional.

"Wilayah Persekutuan Labuan menyusut 0.5 peratus, diikuti Kelantan (-1.1 peratus), Kedah (-1.7 peratus), Pulau Pinang (-2.1 peratus), Perak (-2.3 peratus), Negeri Sembilan (-3.6 peratus), Johor (-4.6 peratus) dan Selangor (-5.3 peratus).

"Sementara itu, enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah kekal sebagai peneraju KDNK nasional dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1 peratus," kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!