TFC resah tanpa Jordan Mintah

Jordan Mintah (depan, tengah) antara pemain import yang memberi impak positif kepada TFC II musim ini.
Jordan Mintah (depan, tengah) antara pemain import yang memberi impak positif kepada TFC II musim ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jurulatih pasukan bola sepak Terengganu FC II (TFC ll), Badrul Afzan Razali mengakui gusar dengan ketiadaan penyerang berbisanya, Jordan Mintah pada perlawanan menentang PDRM FC, Ahad ini.

Dengan reputasi sebagai penjaring gol terbanyak Liga Premier setakat ini, kehadiran Mintah sememangnya ditagih kerana memberi impak besar dalam setiap perlawanan yang disertainya.

Pemain kelahiran Ghana itu kata Badrul perlu direhatkan sekurang-kurangnya seminggu kerana kecederaan pada siku dan masih dirawat di hospital.

"Saya akui ketiadaan Mintah akan memberi kesan pada perlawanan dengan PDRM nanti kerana pada enam perlawanan pusingan pertama sebelum ini, kita tidak pernah menang hanya seri kerana ketiadaan beliau.

"Sebagai pemain asing, Mintah sangat bagus sebagai ketua dengan memberi galakan kepada pemain-pemain tempatan yang lain. Dengan adanya beliau, pemain-pemain dengan sendirinya lebih bersemangat," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Walau bagaimanapun, Badrul Afzan yang juga bekas pemain skuad Penyu berkata, ketiadaan Mintah akan memberi peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi dan membuktikan keupayaan mereka.

Beliau percaya kesemua pemain mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan konsistensi serta mampu memberi persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti.

"Kita ada penyerang muda seperti Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali untuk gantikan posisi Mintah dan kalau pasukan Terengganu FC (TFC) tidak gunakan khidmat Isa Rahman, mungkin kita akan ambil dia.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan cuba raih kemenangan di gelanggang lawan nanti dan kekalkan rekod tanpa kalah yang kita cipta setakat ini," katanya. - Bernama