Prisma: RM54 juta diagih pada pemain industri kreatif

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Sebanyak RM54 juta daripada RM89.2 juta dana diperuntukkan bagi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) telah diagihkan kepada penggiat industri kreatif negara, setakat ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan menyasar untuk mengagihkan baki dana tersebut kepada penggiat industri kreatif sebelum hujung tahun ini.

Sehingga kini, kata beliau lebih 14,000 penerima daripada industri filem, kandungan kreatif digital serta muzik telah memanfaatkan bantuan tersebut.

“Kita ingin agihkan (dana Prisma) sebelum akhir Disember ini dan bantuan ini merangkumi pelbagai aspek melibatkan semua pemain industri kreatif.

“Sebagai contoh, untuk pemain industri filem, kita beri subsidi buat mereka jalankan sanitasi di tempat kerja serta subsidi untuk melakukan ujian swab untuk pelakon dan kru yang terlibat dengan sebarang penggambaran,” katanya.

Saifuddin berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) program Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) Dana Kandungan Digital (DKD) antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Sarawak Media Group (SMG) secara maya, pada Khamis.

Dilancarkan pada 5 Februari lepas, Prisma merupakan inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

Menerusi kerjasama tersebut, RM2.9 juta akan diperuntukkan bagi menjayakan sembilan projek kerjasama antara Finas dan SMG dalam penghasilan kandungan kreatif. - Bernama

Artikel Berkaitan: