Penerbangan pertama bawa pelarian Afghanistan tiba di Kanada

Kumpulan pelarian itu telah menjalani pemeriksaan keselamatan, saringan Covid-19 dan akan dikuarantin. - Foto Rachael Allen/Canadian Armed Forces
Kumpulan pelarian itu telah menjalani pemeriksaan keselamatan, saringan Covid-19 dan akan dikuarantin. - Foto Rachael Allen/Canadian Armed Forces
A
A
A

TRENTON - Penerbangan pertama rakyat Afghanistan yang membantu tentera Kanada di negara berkenaan mendarat pada Rabu di Kanada, lapor Agensi Anadolu (AA).

Penerbangan itu adalah yang pertama dan akan ada beberapa penerbangan lagi selepas ini.

"Kami komited untuk membantu rakyat Afghanistan yang menyokong misi Kanada di Afghanistan," menurut kenyataan Jabatan Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC).

Pelarian ini telah membantu tentera Kanada sepanjang 10 tahun pasukan itu di Afghanistan, ada yang berkhidmat sebagai jurubahasa dan tukang masak. Keluarga mereka turut dibawa ke Kanada.

"Kerajaan berusaha secepat mungkin untuk menempatkan kembali warga Afghanistan yang merisikokan diri mereka ketika menyokong tugas Kanada di Afghanistan.

"Kami berusaha keras untuk mengenal pasti individu yang layak datang ke Kanada di bawah program khas imigresen ini," demikian menurut kenyataan itu.

Kumpulan pelarian itu telah menjalani pemeriksaan keselamatan, saringan Covid-19 dan akan dikuarantin.

Maklumat kuarantin dan lokasi tempat tinggal pelarian tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menurut IRCC pertubuhan penempatan akan membantu mencari tempat tinggal tetap, menyediakan latihan bahasa serta berkongsi maklumat diperlukan mengenai kehidupan di Kanada. -Bernama