Mapim bawa sumbangan 250 kotak makanan ke Melaka

Sani Araby (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada Shadan (dua dari kanan) di Zoo Melaka di Ayer Keroh pada Khamis.
Sani Araby (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada Shadan (dua dari kanan) di Zoo Melaka di Ayer Keroh pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meneruskan program jelajah dengan menyerahkan sumbangan sebanyak 250 kotak makanan ke negeri ini termasuk untuk pekerja Zoo Melaka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Malaysia, Sani Araby Al Kahery berkata, program jelajah kali ini bukan hanya tertumpu kepada golongan asnaf, malah individu barisan hadapan di zoo berkenaan yang ikhlas menjaga pelbagai spesies haiwan.

Beliau berkata, kotak makanan yang digerakkan itu pertama kali dilaksanakan di Zoo Melaka selain turut membawa kira-kira lima tan sayur-sayuran, buah-buahan serta 100 kilogram serbuk kunyit untuk tiga ekor gajah.

Selain itu, katanya, kotak makanan yang dibawa juga akan diserahkan kepada pengayuh beca serta barisan hadapan dalam kalangan kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

"Mapim menggerakkan satu lagi misi membantu mereka yang bekerja di zoo. Usaha ini juga sebagai tautan kasih dengan memberikan kotak makanan kepada lebih 90 kakitangan zoo di sini.

"Ini bukan program pertama Mapim tetapi kita akan meneruskan jelajah dengan menghantar lebih 10,000 kotak bantuan termasuk di pulau-pulau," katanya ketika ditemui ketika menyerahkan bantuan tersebut kepada Zoo Melaka di Ayer Keroh pada Khamis.

Bantuan tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua Majis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman selaku wakil Zoo Melaka.

Hadir sama ialah penceramah terkenal, Profesor Madya Dr Mohd Izhar Ariff dan selebriti tanah air, Zizan Razak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sani Araby berkata, Mapim merancang untuk membentuk lebih banyak kumpulan sukarelawan di bawah pertubuhan itu bagi melipat gandakan usaha memberikan bantuan di Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Secara harian, kita mengagihkan sebanyak 500 kotak makanan di serata negeri. Misi berskala besar ini kita akan pecahkan kepada kumpulan termasuk misi ke Sabah dan Sarawak secara besar-besaran.

"Kita berharap dapat menghantar 10,000 kotak makanan Sabah dan Sarawak. Usaha kerdil ini perlu kita buat untuk meringankan beban penduduk di sana pada September depan," katanya.

Dalam pada itu, Shadan berkata, Zoo Melaka bakal menerima sebuah kontena baharu bagi menyimpan makanan haiwan yang disumbangkan pelbagai pihak.

"Kontena baharu yang ditaja sebuah syarikat di Kuala Lumpur itu akan tiba tidak lama lagi, sekali gus dapat menampung kira-kira10 tan makanan haiwan," katanya.