Majikan didenda gagal pasang peranti keselamatan jentera

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat pembuatan didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Khamis kerana gagal memasang peranti keselamatan pada jentera hingga mengakibatkan seorang pekerjanya cacat dalam kejadian tahun lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan berkata, Belton Springs Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

"Syarikat berkenaan sebagai majikan telah gagal memastikan bahagian jentera yang berbahaya pada mesin 'Extrusion E2' dipasang peranti keselamatan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan kepada seorang pekerjanya yang berusia 47 tahun.

"Kemalangan yang berlaku pada 3 September 2020 telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada jari tangan kiri kerana terhimpit ‘clamp die’ pada jentera sehingga mengakibatkan dua ruas jari tengah putus, patah jari telunjuk dan luka pada jari manis," kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: