Elak sesak: Laksana sistem lalu lintas tiga fasa

Cadangan pelaksanaan lalu lintas tiga fasa
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lingkaran Trans Kota Holding Berhad (Litrak) akan bekerjasama bagi melaksanakan sistem lalu lintas tiga fasa di persimpangan lampu isyarat Jalan Putra Permai/Persiaran Lestari Perdana bermula 6 April depan.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku sedikit kekeliruan di kalangan pengguna susulan daripada pelaksanaan tersebut yang akan dikuatkuasakan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan.

Oleh sebab demikian, beliau berkata MPSJ akan menyediakan notis ini serta papan tanda arah yang mencukupi di beberapa lokasi bagi memudahkan pengguna menuju ke destinasi masing-masing.

"Notis ini akan mula diedarkan pada 1 Mac ini walaupun tempoh pelaksanaannya bermula pada April berikutan kita mahukan setiap pengguna di laluan terlibat mendapat maklumat awal berhubung perkara ini.

"Tujuan pelaksanaan ini adalah bagi melancarkan pergerakan lalu lintas di laluan berkenaan dengan mendapat pemantauan bersama daripada MPSJ, JKR, Polis Diraja Malaysia dan Litrak," katanya.

Dalam pada itu, Zulkurnain berkata pelaksanaan sistem pengurusan lalu lintas ini akan melibatkan penutupan Jalan Prima Tropikana (menghala ke Jalan Putra Permai).

Sehubungan itu, beliau berkata pengguna lalu lintas di kawasan The Atmosphere, Taman Prima Tropika, Taman Alam Putra dan Taman Lestari Permai perlu mematuhi papan tanda arah laluan alternatif yang disediakan bagi mengelakan sebarang kesulitan.

"Bagi laluan alternatif ke Seri Kembangan, pengguna boleh melalui Persiaran Permai Sentosa, Persiaran Putra Permai Utama, Persiaran Putra Permai Selesa dan Persiaran Pinggiran Putra.

"Manakala bagi pengguna yang ingin ke Puchong/Putrajaya, mereka boleh menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Atmosphere Utama 2.

"Dan pengguna yang ingin ke Lestari Perdana pula, mereka boleh menggunakan laluan alternatif melalui Persiaran Putra Permai Utama dan Persiaran Putra Permai Selesa," katanya.

Tambah beliau, mana-mana pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang MPSJ di www.mpsj.gov.my atau berhubung terus dengan Pusat Talian Panggilan Setempat MPSJ di talian 03-80247700.