10 Makmal Jaringan Sosial UMK bantu tingkat ekonomi rakyat

Makmal Jaringan Sosial (SNL) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dapat membantu pembangunan ekonomi rakyat menerusi perkongsian ilmu para akademik. - Foto UMK
Makmal Jaringan Sosial (SNL) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dapat membantu pembangunan ekonomi rakyat menerusi perkongsian ilmu para akademik. - Foto UMK
A
A
A

KOTA BHARU - 10 Makmal Jaringan Sosial (SNL) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dibangunkan di Kelantan, Sabah dan Sarawak berupaya membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Asalnya Makmal Sosial yang ditubuhkan di bawah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) UMK tersebut kini diberi inovasi baharu dikenali sebagai SNL.

Pengarah InsPeK UMK, Profesor Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, kewujudan sekian lama SNL seiring dengan cadangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) agar setiap universiti awam di negara ini menubuhkan platform makmal sosial.

Menurut beliau, penubuhan Makmal Sosial di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) mampu berperanan penting sebagai kaedah dan strategi merangka penyelesaian terbaik bagi menangani permasalahan, cabaran serta jurang dalam kalangan masyarakat.

“10 SNL UMK iaitu di SNL perkampungan orang asli, Sungai Rual, Jeli, SNL Tok Bali, Pasir Puteh, SNL Desa Alam Shah, Pasir Puteh, SNL PPMS Pohon Nenasi, Bachok, SNL Pantai Geting, Tumpat, SNL Demit, Kota Bharu, SNL Kuala Koh, Gua Musang, SNL Telong (OKU), Bachok, SNL Semporna, Sabah dan SNL Qaseh, Sarawak.

“Pencapaian SNL UMK antaranya menghasilkan produk sendiri seperti cendawan, pisang, penternakan ikan dan ayam kampung kacuk,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Khamis.

Mengulas lanjut, makmal sosial adalah revolusi daripada aktiviti kemasyarakatan dan platform yang diwujudkan oleh sesebuah organisasi untuk meneliti dan menyelesaikan sesuatu isu dengan khusus.

“Makmal sosial menjadi pilihan banyak pihak, sama ada universiti awam dan swasta, pihak industri atau korporat serta aktivis dari badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rujukan.

Artikel Berkaitan:

“Antara yang dilakukan ialah penyelidikan, aktiviti pendayaupayaan melalui program pembinaan kapasiti atau pemindahan ilmu dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Tambah beliau, proses SNL dilakukan oleh ahli akademik dan warga universiti manakala pelajar didorong untuk terus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan paling penting memahami ilmu itu untuk digunakan bagi memberi manfaat kepada komuniti.

“Peringkat awal pelaksanaan SNL bertujuan menguruskan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dengan menggembleng kekuatan para akademik.

“SNL dilaksanakan berasaskan empat langkah utama iaitu pemetaan komuniti, penentuan potensi, pelaksanaan program arau projek dan kelestarian program,” katanya.