20,596 kes positif Covid-19, rekod tertinggi hari ini

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bilangan kes baharu positif Covid-19 di negara ini terus melonjak kepada 20,596 kes pada Khamis.

Ia sekali gus menjadikan Malaysia merekodkan jumlah tertinggi selama dua hari berturut-turut.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah sebanyak 1,203,706 kes.

Terdapat peningkatan kes berlaku di beberapa negeri, manakala Selangor masih kekal melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 8,549 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,163).

Antara negeri yang merekodkan kes melebihi 1,000 kes ialah Kedah (1,446), Johor (1,300), Sabah (1,062) dan Pulau Pinang (1,022).

Negeri lain ialah Negeri Sembilan (989), Perak (916), Kelantan (772), Melaka (622), Terengganu (501), Pahang (426), Putrajaya (50), Labuan (15) dan Perlis (empat).

Pada 15 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meramalkan kes harian positif Covid-19 mencapai sehingga 24,000 sehari pada pertengahan September depan berdasarkan unjuran pihaknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah bilangan kes baharu itu, terdapat sebanyak 398 kes bagi kategori tiga, empat dan lima.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 20,198 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya.

Secara keseluruhan, katanya, hanya 4,660 daripada jumlah kes baharu mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

"Terdapat sebanyak 217,061 kes aktif di seluruh negara yang mana 1,078 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 549 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, jumlah kematian berkaitan Covid-19 telah melepasi 10,000 kes apabila merekodkan pertambahan sebanyak 164 kes.

"Kes kematian pada hari ini melibatkan 45 di Selangor, selain Johor (27), Kuala Lumpur (24), Kedah (18), Perak (10), Sabah (sembilan), Pulau Pinang (sembilan), Melaka (sembilan), Negeri Sembilan (tujuh), Sarawak (dua) dan Pahang (dua).

"Kelantan dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, kes sembuh turut mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 13,893 kes.

"Jumlah keseluruhan kes sembuh ialah 976,626 kes," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 33 kluster baharu dikenal pasti membabitkan 18 daripadanya kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti, dua pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

"Jumlah keseluruhan kluster ialah 3,829 kes," kata beliau.