Zahid perlu dikenakan tindakan disiplin dan letak jawatan: Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
A
A
A
KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendesak Lembaga Displin UMNO mengambil tindakan terhadap presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Selain itu, Nazri juga mendesak agar Zahid segera meletak jawatan sebagai presiden UMNO kerana tindakannya jelas membelakangkan keputusan PAU sebagai badan tertinggi dalam parti.

Hujah beliau, keputusan PAU 2020 yang mahu UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan suara akar umbi yang mahu parti itu kekal dalam kerajaan.

“Saya dah sebut benda ini banyak kali, keputusan PAU 2020 ialah putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 dan juga “No Anwar, No DAP”.

“Sekarang yang langgar keputusan PAU ini siapa? Keputusan yang dibuat dalam PAU 2020 itu mengikut prosedur, usul dibentang, dibahas dan disokong sebulat suara.

“Tetapi bila habis PAU pada Mac, Zahid ada bercakap dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan dia beritahu “No Anwar, No DAP” itu hanya taktikal.

“Jadi jelas, Zahid membelakangkan keputusan PAU yang merupakan badan tertinggi dalam UMNO.

“Yang perlu dikenakan tindakan disiplin adalah Zahid dan beliau kena letak jawatan sebab langgar keputusan PAU,” katanya kepada Astro AWANI.

Nazri juga mengingatkan Zahid sekiranya UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) kesannya akan turut dirasai oleh ahli parti yang mempunyai jawatan dalam Majlis Daerah dan Ketua Kampung.

Katanya, mereka ini juga perlu meletak jawatan dan akan hilang pendapatan sekiranya UMNO menarik sokongan terhadap PN.

Artikel Berkaitan:

“Bukan hanya menteri dan timbalan menteri yang perlu letak jawatan tetapi ahli UMNO yang jadi Ahli Majlis dan Ketua Kampung juga kena letak jawatan.

“Dia (Zahid) fikir tak benda ni? Kesan kepada ahli-ahli UMNO yang pegang jawatan Ketua Kampung dan sebagainya,” katanya lagi.

Nazri juga mengulangi desakan agar Zahid bertemu dengan semua Ahli-Ahli Parlimen UMNO bagi memutuskan isu menyokong PN atau sebaliknya.

“Saya bukan menolak keputusan MT UMNO tetapi saya nak ulang, Zahid kena jumpa kami Ahli-Ahli Parlimen UMNO terlebih dahulu.

“Ini kerana Zahid sendiri yang umum pada Februari 2020 bahawa keputusan menyokong PN adalah keputusan Ahli-Ahli Parlimen UMNO bukan MT UMNO.

“Jadi jumpa kami, Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan jelaskan kenapa perlu tarik sokongan,” jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, Nazri menjelaskan beliau akan akur jika Barisan Nasional (BN) yang memutuskan agar tidak lagi menyokong PN.

“Saya Ahli Parlimen BN, jadi saya akan akur jika BN yang putuskan untuk tarik sokongan terhadap PN.

“Apa yang saya tahu setakat ini, BN masih kekal menyokong kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Awal hari ini, Zahid dilaporkan berkata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh dikenakan tindakan disiplin kerana tidak patuh keputusan MT UMNO yang menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Zahid berkata demikian kerana Ismail Sabri dilihat berdiri di sebelah Muhyiddin ketika sidang media khas PM pada Rabu.- Sumber Awani