KKM buat laporan polis terhadap Dr Musa

KKM memaklumkan dakwaan Dr Musa yang dibangkitkan dalam sesi temu bual bersama Astro Awani adalah tidak berasas.
KKM memaklumkan dakwaan Dr Musa yang dibangkitkan dalam sesi temu bual bersama Astro Awani adalah tidak berasas.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat laporan polis terhadap Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berhubung dakwaan sogokan bagi perolehan vaksin Covid-19 keluaran ModernaTX Inc.

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa dakwaan Dr Musa itu tidak berasas.

"Secara khususnya, Dr Musa mendakwa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak membuat perolehan vaksin jenis Moderna dan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi (not enough kickbacks)," kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, perbincangan KKM dengan ModernaTX Inc bagi perolehan vaksin jenis Moderna telah dilakukan pada penghujung tahun 2020.

Pada 6 Disember lalu, katanya, ModernaTX Inc telah membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM sebanyak 10 peratus daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ketiga dan keempat tahun 2021.

"Cadangan tawaran ModernaTX Inc telah dibawa untuk pertimbangan JKJAV yang berpendapat ia boleh dipertimbangkan.

"Bagaimanapun, memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku tahun ketiga 2021, JKJAV telah membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin Covid-19 lebih awal bagi mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," jelasnya.

Menurut KKM, pihak ModernaTX turut diminta untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin kepada NPRA.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan semakan dan rekod, pandaftaran vaksin Moderna hanya dikemukakan kepada NPRA pada bulan Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc," katanya.

Menurutnya, NPRA sedang melaksanakan penilaian secara laluan khas dan akan dibentangkan pada mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam masa terdekat.

"Memandangkan kerajaan telah mempunyai portfolio dan jumlah dos mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, keputusan keperluan vaksin berkenaan akan dibuat sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan oleh NPRA.

"Ia termasuk penggunaannya sebagai dos penggalak atau secara heterologi," katanya.