Platform hibrid, digital semarak semangat sambutan Hari Kebangsaan

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak akan dimeriahkan menerusi platform secara hibrid dan digital bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik biarpun negara masih diancam pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak akan dimeriahkan menerusi platform secara hibrid dan digital bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik biarpun negara masih diancam pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak akan dimeriahkan menerusi platform secara hibrid dan digital bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik biarpun negara masih diancam pandemik Covid-19.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, objektif utama diadakan secara maya kali ini adalah untuk memastikan masyarakat menyertai sambutan Hari Kebangsaan tanpa sebarang alasan, malah ia boleh disambut dari kediaman masing-masing.

“Kali ini sambutannya berbeza yang mana kerajaan negeri dan Jabatan Penerangan negeri akan melaksanakan sambutan Hari Kebangsaan secara hibrid dan digital dengan menggabungkan dua elemen ini mengikut keadaan situasi semasa.

“Saya minta semua masyarakat di Perak meluangkan masa menyertai dan menjayakan majlis ini walaupun secara maya pada 11 Ogos depan menggunakan platform Facebook pada jam 12.30 tengah hari yang akan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai program bual bicara dalam slot ‘Cer Citer YB’ di Radio PerakFM pagi Khamis.

Khairul Shahril berkata, selain memperhebat kibaran bendera Jalur Gemilang di premis kediaman, premis kerajaan dan swasta serta bangunan-bangunan kedai, masyarakat juga boleh menggunakan inisiatif baharu dengan meletakkan Jalur Gemilang atau logo slogan Malaysia Prihatin sebagai latar belakang gambar masing-masing di laman media sosial.

“Ini antara suatu usaha agar kita terus memastikan semangat patriotik terus mekar dalam kalangan masyarakat bagi menggelorakan sambutan kemerdekaan biarpun tidak dapat menyambut secara fizikal ekoran pandemik ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai slogan Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin, Shahril berkata, slogan berkenaan menunjukkan keprihatinan bukan hanya dari pihak kerajaan, malah dalam kalangan rakyat kepada negara terutama dalam usaha menentang pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Ia membawa pengertian cukup besar bahawa rakyat Malaysia hari ini bersama kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk melawan pandemik Covid-19.

“Selain itu, keprihatinan kerajaan melalui inisiatif disediakan cukup banyak merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi dan kebajikan rakyat, mungkin ia masih tidak mencapai 100 peratus memenuhi kesemua kehendak rakyat, tetapi kerajaan tetap berusaha menyampaikan keharmonian dan kesejahteraan ini kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Shahril yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota berkata, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyertai Pertandingan Sempena Bulan Kebangsaan 2021 dan segala maklumat mengenai pertandingan berkenaan boleh didapati menerusi Facebook Penerangan Perak Page.

Katanya, antara pertandingan dianjurkan adalah Pertandingan Kuiz Online, Pertandingan Keceriaan, Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Silang Kata dan Pertandingan Pidato.

“Pertandingan tetap diadakan seperti Hari Kebangsaan yang lalu cuma kali ini ia akan diadakan secara maya dan di rumah masing-masing. Saya seru masyarakat sertai program ini dan hadiah juga turut disediakan,” katanya. - Bernama