Atlet angkat berat Georgia menang emas, pecah rekod dunia

Talakhadze- Foto gettyimages
Talakhadze- Foto gettyimages
A
A
A

SELAIN memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, atlet angkat berat Georgia, Lasha Talakhadze melakar sejarah tersendiri apabila berjaya memecahkan tiga rekod dunia masing-masing dalam acara snatch dan clear and jerk pada Rabu.

Juara dunia lima kali yang juga pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 itu mencatatkan rekod dunia pada Rabu apabila mengangkat bebanan 209kg bagi angkatan pertama, 215 (angkatan kedua) dan 223kg bagi angkatan terakhir bagi acara snatch manakala dalam acara clean and jerk, atlet berusia 27 tahun itu memulakan angkatan dengan 245kg kemudiannya 255kg dan seterusnya 265kg pada angkatan ketiga.

Mengulas mengenai kejayaannya itu, Talakhadze yang beraksi dalam acara lelaki (109kg) berkata, kejayaannya itu banyak dipengaruhi hasil kerja keras serta latihan yang dilakukannya selama ini.

Malah katanya, jurulatih serta pembantu jurulatihnya telah banyak memberikan latihan serta bimbingan kepadanya dalam usaha melakar kejayaan di pentas Olimpik.

“Jurulatih saya, pembantu jurulatih serta pelatih saya, kesemua mereka telah melakukan segala-galanya. Mereka telah bekerja keras untuk memastikan kejayaan saya.

“Mereka juga telah menyuntik semangat kepada kami untuk melakarkan kejayaan ini menerusi cara yang lebih sempurna,” katanya.

Talakhadze turut melakar sejarah apabila mengangkat bebanan seberat 488kg secara keseluruhannya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Talakhadze turut berazam untuk kembali beraksi di pentas Olimpik Paris 2024 nanti dalam usahanya untuk memecahkan rekod dunia yang dicatatkannya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, ia ibarat tugas yang belum selesai. Oleh itu saya berazam untuk kembali di Paris nanti untuk sekali lagi memecahkan rekod dalam acara angkat berat.

“Itu menjadi matlamat utama saya sekarang ini dan saya akan bekerja keras untuk memastikannya menjadi realiti,” katanya.