X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki ditahan ratakan satu hektar Hutan Simpan Terenas

Jentera yang digunakan bagi tujuan meratakan tanah di Hutan Simpan Terenas disita untuk membantu siasatan.
A
A

SIK - Seorang lelaki ditahan ketika sedang meratakan tanah di Hutan Simpan Terenas dalam serbuan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada Rabu.

Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah berkata, serbuan dilakukan setelah menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 10.30 pagi mengenai tindakan lelaki berusia 49 tahun itu yang dikatakan sedang meratakan tanah di kawasan terbabit.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kira-kira satu hektar tanah telah diratakan sejak tiga hari lalu oleh lelaki berkenaan.

"Kita percaya lelaki ini telah diberikan upah meratakan tanah di kawasan itu menggunakan jengkaut miliknya bagi tujuan tanaman getah.

"Akibat perbuatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok hutan secara haram, kerugian dianggarkan mencecah RM80,000," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Muhamad berkata, lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik untuk tindakan lanjut.

"Sebuah jentera jenis Excavotar Sumitomo yang digunakan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, siasatan juga akan dijalankan mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran," katanya.

Tambah beliau, dua seksyen berkenaan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"JPNK amat komited dan memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan simpanan kekal terutama mereka yang mengambil kesempatan menceroboh hutan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Muhamad berkata, mana-mana pihak yang didapati bersalah, tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang dan akan dihadapkan ke mahkamah.

Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan penerokaan dan pencerobohan hutan simpan kekal bagi memastikan salah laku kesalahan berhubung aktiviti perhutanan dapat dibendung.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!