82 peratus warga kerja TNB lengkap dua dos vaksin

TNB memaklumkan sebanyak 82 peratus daripada 35,000 warga kerjanya di seluruh Semenanjung dan Sabah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19. Gambar kanan: Baharin
TNB memaklumkan sebanyak 82 peratus daripada 35,000 warga kerjanya di seluruh Semenanjung dan Sabah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19. Gambar kanan: Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 82 peratus daripada 35,000 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh Semenanjung dan Sabah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, proses vaksinasi secara menyeluruh menjadi keutamaan TNB berikutan sebahagian besar warga kerjanya perlu berada di lapangan iaitu di seluruh rantaian tenaga bagi menjamin kestabilan bekalan, demi keselesaan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak TNB juga melaksanakan kempen dalaman bagi menggalakkan seramai mungkin anggota kerjanya mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Kempen dalaman ini telah berjaya mewujudkan imuniti kelompok yang diperlukan dalam kalangan warga kerja kami.

"Alhamdulillah, mereka mendaftar secara sukarela berikutan wujudnya kesedaran dan keyakinan tentang perlunya mengawal penularan Covid-19 pada diri, ahli keluarga, kenalan dan pelanggan kami.

"Selain kempen dalaman, TNB juga menubuhkan pasukan bertindak, khusus untuk program vaksinasi dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan anggota kerja," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Baharin berkata, TNB turut berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memudahkan warga kerjanya yang bertugas di barisan hadapan untuk mendapatkan vaksin dalam tempoh segera.

Katanya, ini berikutan operasi TNB adalah perkhidmatan yang diperlukan dalam usaha negara memerangi Covid-19, khususnya memastikan bekalan elektrik kekal stabil di lokasi-lokasi strategik termasuk hospital, pusat kesihatan, pusat simpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin (PPV).

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kami ucapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang membantu pasukan bertindak ini mendapatkan slot vaksinasi untuk warga kerja TNB.

"Begitu juga pihak kerajaan negeri dan pejabat kesihatan negeri-negeri yang memberi kerjasama dan memudahkan barisan hadapan TNB di negeri-negeri mendapatkan suntikan vaksin masing-masing," katanya.

Baharin berkata, bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara,TNB menetapkan hanya warga kerjanya yang telah menerima vaksin dibenarkan bekerja di lapangan dan selagi boleh mereka digalakkan bekerja dari rumah.

Tegas beliau, pihaknya memandang serius keperluan warga kerja mendapatkan suntikan vaksinasi kerana ia dapat membantu usaha negara memulihkan keyakinan perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.