Chelsea tidak terdesak dapatkan penyerang baharu

Tuchel
Tuchel
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menegaskan skuad kendaliannya itu tidak begitu terdesak bagi membawa masuk penyerang baharu bagi mengharungi saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut Tuchel, setakat ini skuad The Blues itu sudah pun memiliki rangkaian penyerang yang baik melibatkan Timo Werner, Tammy Abraham dan Kai Havertz.

Bagaimanapun katanya, mungkin kemasukan seorang lagi pemain penyerang dilihat boleh dilakukan bagi mengukuhkan lagi jentara serangan pasukan.

“Kami tidak begitu terdesak untuk membawa masuk penyerang baharu ke Stamford Bridge. Setakat ini kami masih belum panik dan bercadang untuk terus memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain sedia ada.

Sebahagian pemain Chelsea bersama jersi baharu pada aksi persahabatan pra musim dengan Tottenham Hotspur baru-baru ini
Sebahagian pemain Chelsea bersama jersi baharu pada aksi persahabatan pra musim dengan Tottenham Hotspur baru-baru ini

“Lagi pun, kami memiliki ramai pemain muda yang begitu bersemangat. Namun, dalam masa sama, kami cuba melihat kepada keperluan untuk menambahkan seorang lagi pemain penyerang bagi menambahkan sengat pada jentera serangan pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin pemain berkenaan boleh mengisi kekosongan atau memainkan peranan sebagaimana yang pernah dilakukan Olivier Giroud yang kini memilih untuk berhijrah ke AC Milan,” katanya.

Sementara itu Tuhcel enggan mengulas lanjut berhubung hasrat Chelsea bagi membawa masuk penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku ke Stamford Bridge.

Beliau berkata, sejak memenangi Liga Juara-Juara musim lalu, ramai pemain ternama yang dilaporkan berminat untuk beraksi di Stamford Bridge.

Bagaimanapun menurut Tuchel, dia tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung perkara berkenaan termasuklah khabar yang mengatakan Chelsea bakal membawa masuk penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku.

“Lukaku pemain yang baik. Itu memang tidak boleh dinafikan. Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai pemain yang tidak ada bersama pasukan (Chelsea) ketika ini dan walaupun jumlah mereka agak ramai namun ia bukanlah topik utama yang menjadi bualan di Stamford Bridge.

“Ini kerana, kami tidak membuat tawaran kepada pemain; sebaliknya kami hanya bercakap mengenai pemain, suarakan pendapat dan kemudian barulah kami bercakap mengenai pemain yang kami sasarkan untuk dibawa ke Stamford Bridge di mana pemain berkenaan perlu melibatkan pemain yang mampu memperkuatkan pasukan,” katanya.