X

Kindly register in order to view this article
!

Penggunaan katil ICU di Pulau Pinang hampir capai 100 peratus

Kon Yeow (kiri) dan Jagdeep meninjau salah satu lokasi PSC-19 di pekarangan Komtar pada pagi Khamis.
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan katil Covid-19 di wad unit rawatan rapi (ICU) di Pulau Pinang hampir mencapai 100 peratus susulan peningkatan kes dicatatkan di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, susulan daripada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menyusun kemudahan yang ada di setiap hospital bagi menangani masalah tersebut.

Menurut beliau, sehingga kini, kemudahan di semua hospital mencukupi untuk digunakan setiap pesakit termasuk pesakit Covid-19.

"Kes Covid-19 dijangka akan terus bertambah pada minggu berikutnya dan kita akui keadaan ini menyebabkan penggunaan kemudahan di ICU pada masa ini menerima tekanan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri meminta JKNPP untuk menyusun semula selain mengubahsuai ruang sedia ada untuk dijadikan ruang rawatan pesakit Covid-19," katanya ketika ditemui selepas meninjau salah satu lokasi program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) di pekarangan Komtar pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeeep Singh Deo, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang.

Kon Yeow berkata, tekanan di ICU di Pulau Pinang berlaku selepas peningkatan kes Covid-19 yang dicatatkan sejak beberapa hari lalu.

"Sebelum ini, kes di Pulau Pinang mencatatkan sekitar 100 hingga 200 sehari, namun sejak beberapa hari lalu kes mula menunjukkan peningkatan iaitu antara 600 hingga 800 sehari.

"Di atas faktor ini, ia memberi tekanan kepada kapasiti ICU di hospital seluruh Pulau Pinang. Disebabkan itu, hospital-hospital di negeri ini memerlukan penambahan serta perlu diubahsuai ruang sedia ada untuk dijadikan ruang rawatan Covid-19 dan kita sedia bekerjasama membantu KKM sekiranya diperlukan," katanya.

Mengulas mengenai bekalan vaksin bagi Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, bekalan itu hanya mula bertambah pada Julai lalu, namun pihaknya masih belum dimaklumkan berhubung jumlah bekalan vaksin yang bakal tiba pada minggu kedua bulan ini dan bulan seterusnya.

"Pada Julai lalu, kita menerima bekalan vaksin sebanyak 700,000 dos untuk diberikan kepada rakyat. Oleh demikian, kita berharap kerajaan Persekutuan mempercepatkan pengagihan bekalan vaksin ke negeri supaya program imunisasi berjalan lancar.

"Bagaimanapun, untuk Ogos Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin memaklumkan bahawa mereka memerlukan masa untuk meneliti bekalan vaksin ke negeri-negeri.

"Bekalan untuk minggu ini sudah diterima, namun untuk minggu seterusnya, kita belum mendapat sebarang makluman," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat lebih 40 kluster aktif Covid-19 dicatatkan di Pulau Pinang dan selain kluster di tempat kerja, turut dikesan berlaku peningkatan kes-kes sporadik di dalam komuniti.

"Sebelum ini, JKN dapat mengesan satu kes disebabkan Varian Delta, mungkin JKN dan KKM memerlukan lebih masa untuk memastikan varian yang ada di Pulau Pinang.

"Kita berharap penemuan ini akan segera diperoleh keputusan agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil untuk membendung penularan wabak ini,'' katanya.

Pulau Pinang mencatatkan 867 kes pada Rabu yang mana ia merupakan jumlah tertinggi yang dicatatkan di sini setakat ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!