Lelaki mogok lapar nyata lima tuntutan

Nathaniel memulakan protes mogok lapar dan turut menyatakan lima tuntutan untuk dipenuhi.- Foto iIhsan FB Nathaniel Tan.
Nathaniel memulakan protes mogok lapar dan turut menyatakan lima tuntutan untuk dipenuhi.- Foto iIhsan FB Nathaniel Tan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki memutuskan untuk mogok lapar selepas kecewa dengan krisis politik negara yang mengakibatkan jumlah kematian Covid-19 semakin meningkat.

Menerusi perkongsian di laman Facebook pada Rabu, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Nathaniel Tan turut menyatakan lima tuntutan dalam menyelesaikan kemelut itu.

Menurut Nathaniel, pemimpin negara kini mahu mengheret krisis politik mereka sehingga September depan dan keadaan ini pastinya akan menyebabkan usaha bagi menangani wabak Covid-19 gagal.

"Mahatma Gandhi menundukkan empayar British tanpa menembak walau sebutir peluru.

Dia menggunakan dua prinsip mudah iaitu tidak menyerah dan tidak merosakkan.

"Mungkin kita tak boleh capai apa yang dikecapinya (atau mungkin boleh), tapi kita boleh buat apa yang dilakukannya," katanya menerusi kemaskini di Facebook.

Salah satu tuntutan yang dinyatakan Nathaniel adalah membabitkan kuasa bagi membuat keputusan berhubung Covid-19 di mana ia perlu diletakkan sepenuhnya di tangan pakar atau menerusi sidang Parlimen segera.

Selain itu, dia turut menuntut penyediaan peruntukan RM500 juta untuk peralatan di hospital yang merawat pesakit Covid-19 dan tidak boleh melalui birokrasi hospital malah doktor di wad juga perlu diberi kebebasan untuk menyenaraikan peralatan keperluan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Tuntutan ketiga ialah setiap petugas barisan depan perlu dibenarkan untuk mendedahkan keadaan sebenar di lapangan tanpa risau dengan tindak balas dan tapisan serta menerbitkan semua data berkaitan wabak tanpa sekatan.

"Selain itu, pihak terlibat juga perlu menerbitkan senarai penuh syarikat yang masih dibenarkan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Tuntutan terakhir pula adalah pelitup muka N95 dan pencuci tangan perlu dibekalkan secara percuma di hospital dan balai polis," katanya.

Tambah Nathaniel, dia akan meneruskan mogok lapar berkenaan sehingga semua lima tuntutan berkenaan dipenuhi pihak terlibat.

"Saya akan keluar dari rumah dan duduk di satu sudut (di jalan).

Saya akan lakukan yang terbaik untuk kekal di situ dan tidak makan sehinggalah lima tuntutan dipenuhi.

"Kita perlukan perubahan.

Saya tidak boleh lagi duduk dan hidup seperti biasa di saat ramai yang mungkin terkorban akibat kecuaian," katanya.