Tunggu hingga September, elak cetus huru-hara: Pas Selangor

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor mengingatkan pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mencetuskan sebarang ketegangan kepada rakyat dan tunggu sehingga Parlimen kembali bersidang pada September nanti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Seri Paduka Baginda pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan akan terus berjalan seperti biasa sehingga September depan dan ia merupakan penyelesaian paling harmoni dan tertib menurut peraturan.

Bagaimanapun Roslan Shahir berkata, blok pembangkang didapati mendesak agar sidang Parlimen diadakan segera seawal minggu hadapan tanpa perlu menunggu September.

"Bukankah tarikh September itu diumum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong? Sebelum ini, tuduh Muhyiddin derhaka, sekarang siapa pula yang membantah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Cukup-cukuplah, tak sedarkah beratus kematian dicatat tiap hari angkara pandemik Covid-19 ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, Roslan Shahir mendesak pihak pembangkang untuk memberi tumpuan dan sokongan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermatlamat mahu memulihkan kehidupan masyarakat.

Ujarnya, rakyat sudah mual dan bosan dengan 'over-politicing' oleh ahli-ahli politik terutamanya daripada pihak pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga September, bersamalah kita berganding bahu membantu kerajaan memerangi pandemik dan jangan cetuskan ketegangan serta tambah gundah gulana rakyat.

"Simpanlah surat akuan bersumpah (SD) atau apa sahaja perkakas untuk cabar kerajaan dan merobohkan satu-satu kuasa politik Melayu Islam yang memegang teraju.

"Bersama kita memutuskan rantaian Covid-19. Daulat Tuanku," katanya.