X

Kindly register in order to view this article
!

Kedudukan PN Perak dalam pentadbiran negeri masih kekal

Zainol Fadzi
A
A

IPOH - Kedudukan Perikatan Nasional (PN) dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak masih kekal.

Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudian berkata, tiada perubahan berlaku dan pihaknya akan menurut pertimbangan serta keputusan kepimpinan tertinggi PN untuk fokus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurut beliau, tumpuan harus diberikan sepenuhnya untuk mengurus permasalahan pandemik yang melanda negara ketika ini khususnya membantu rakyat yang terkesan.

"Berkenaan kedudukan PN Perak dalam kerajaan negeri, ia masih kekal sama.

"Sebagai pemimpin adalah wajib untuk kita meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang tertinggi mendahului kehendak dan keperluan politik," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Zainol Fadzi yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, menegur kenyataan dikeluarkan UMNO Perak yang disifatkan tidak sensitif terhadap keadaan semasa negeri.

Katanya, kewujudan kerajaan negeri Perak pada hari ini adalah kerana sokongan daripada PN yang membentuk kerajaan.

"PN Perak merasakan kenyataan media daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang tular sejurus selepas pengumuman dibuat oleh Presiden UMNO pada Selasa lalu haruslah lebih peka dan sensitif.

"Ia tidak seharusnya berlaku dalam tampuk kepimpinan bersama dalam kerajaan yang ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata, PN Perak turut berasa sedih atas kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Menurutnya, penarikan sokongan oleh ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu perkara yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia tentang status kerajaan sedia ada.

"Tindakan yang diambil ini hanya akan mengeruhkan keadaan di kala Malaysia sedang memerangi musuh utama negara kini iaitu virus Covid-9," katanya.

"PN Perak mendoakan semoga ALLAH SWT memberikan kekuatan agar kepimpinan kerajaan ini terus istiqamah dalam mentadbir negara," katanya.

Pada Selasa, UMNO Perak menggesa semua ahli Parlimen UMNO untuk melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti itu dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN serta merta.

Ketua Penerangan, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ini bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada parti.

Kerajaan negeri Perak dibentuk dengan gabungan sokongan daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (4), Pas (3) dan Bebas (3).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!