MAINS salur RM5.6 juta bantuan Covid-19 di NS

Pegawai MAINS melawat wanita yang diceraikan selepas 13 hari bersalin di Nilai.
Pegawai MAINS melawat wanita yang diceraikan selepas 13 hari bersalin di Nilai.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan sebanyak RM5.6 juta bantuan Covid-19 sepanjang tempoh 1 Jun hingga 18 Julai 2021.

Setiausaha MAINS, Ahmad Husaini Datuk Mustafa berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM4.3 juta bantuan tunai diberikan kepada 12,521 orang awam yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, selain itu, bantuan makanan turut diedarkan kepada 232 individu yang memerlukan dengan kos keseluruhan sebanyak RM31,954.

"Melalui peruntukan Covid-19 MAINS ini juga, bantuan sebanyak RM138,700 telah diberikan kepada individu yang dikuarantin (Person Under Surveillance) dan RM 70,496 bantuan pembelian peralatan pelindungan peribadi (PPE) kepada petugas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang menguruskan pesakit Covid-19.

"Sementara, sebanyak RM 147,076 bantuan turut diberikan kepada pasukan barisan hadapan dalam membantu mereka melaksanakan tugas, termasuk bantuan makanan siap dimasak kepada semua petugas hadapan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, MAINS turut membantu 39 pengusaha bas sekolah yang terjejas akibat pandemik ini, dengan memperuntukkan sebanyak RM19,500.

Kata Ahmad Husaini, turut dibantu 1,682 anak asnaf dengan pemberian tablet bagi membantu mereka melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, MAINS turut menghulurkan bantuan dengan menyelesaikan tunggakan sewa rumah seorang ibu tunggal yang diceraikan suami selepas 13 hari melahirkan seorang anak lelaki di Nilai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantuan tersebut diberikan bagi membantu meringankan beban wanita tersebut yang kini hanya tinggal bersama tiga anak mereka, dalam lawatan ziarah ke rumah pada Rabu.

Turut hadir pada ziarah tersebut, pegawai MAINS Cawangan Nilai, Hazmi Abdul Kadir, Pegawai Dakwah Cawangan Nilai, Hasrul Nizam Sidek, Pengurus SRC, Muzaliza Musa dan pegawai-pegawai Skuad Gerak Khas (SGK) MAINS, Mohd Zahid Mohammad dan Amir Syukri Abdul Jalil.

"Bagi bantuan susulan, MAINS juga akan membantu menjelaskan sewaan rumah yang tertunggak dan bantuan kewangan secara bulanan.

"Sokongan khidmat kaunseling daripada kaunselor-kaunselor MAINS juga akan disalurkan," katanya.