Bom Perang Dunia Kedua 226kg ditemui di Felda Triang

Bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui seorang peneroka di Felda Triang 1 pada petang Isnin. - Foto ihsan PDRM
Bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui seorang peneroka di Felda Triang 1 pada petang Isnin. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BERA - Penemuan sebutir bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua seberat 226 kilogram menggemparkan penduduk di Felda Triang 1 di sini pada petang Isnin lalu.

Susulan situasi tersebut 123 buah keluarga daripada penempatan terbabit akan dipindahkan buat sementara waktu dalam radius 500 meter dua jam sebelum pemusnahan bom dilakukan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, bom dipercayai jenis UXO Arial sepanjang 0.9 meter itu ditemukan kira-kira jam 3.30 petang pada Isnin oleh seorang peneroka berusia 50-an yang sedang melakukan pembersihan di kawasan ladang kelapa sawit belakang sebuah rumah.

Menurutnya, laporan polis kemudiannya dibuat pada petang Selasa.

Kerja-kerja pembinaan benteng bag pasir yang giat dijalankan.
Kerja-kerja pembinaan benteng bag pasir yang giat dijalankan.

"Hasil penilaian mendapati bom jenis tersebut adalah berisiko untuk dialihkan dan hanya boleh dimusnahkan di tempat ia ditemui.

"Bom sepanjang lebih kurang 91.44 sentimeter (sm) dengan 81 sm ukur lilit itu dijumpai dalam keadaan separuh terkeluar dari tanah.

"Pasukan Pakar Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman seramai empat orang telah hadir memberikan bantuan teknikal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, proses membuat benteng beg pasir telah selesai kira-kira 70 peratus dengan menaikkan benteng beg pasir setinggi 2.13 meter pada Rabu.

"Hasil perbincangan semua pihak, masa memusnahkan bom akan dibuat pada Jumaat kira-kira jam 10 pagi setelah menilai kawasan kejadian dan mengambil kira persediaan memaklumkan kepada penduduk setempat," ujarnya lagi penduduk terlibat akan ditempatkan di bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berhampiran.