Khidmat internet di Kerdau, Jenderak ditambah baik

Mohammad Fakhruddin (dua, kanan) mengadakan lawatan kerja bersama SKMM di DUN Kerdau dan Jenderak bagi memastikan kerja-kerja menaiktaraf liputan internet dapat disegerakan.
Mohammad Fakhruddin (dua, kanan) mengadakan lawatan kerja bersama SKMM di DUN Kerdau dan Jenderak bagi memastikan kerja-kerja menaiktaraf liputan internet dapat disegerakan.
A
A
A

KUANTAN- Kerajaan Pahang akan menambah baik perkhidmatan internet kepada rangkaian gentian optik bagi membolehkan internet berkelajuan tinggi di Kerdau dan Jenderak, Temerloh dapat disediakan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia melibatkan kerja naik taraf rangkaian di 267 premis di sekitar Kerdau dan beberapa kawasan lain yang dijangka siap November tahun ini.

Menurutnya, bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih, sebanyak tiga menara baharu telah dirancang untuk dibina bermula September ini dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2022.

"Kerja-kerja naik taraf stesen pemancar juga telah dirancang apabila sebanyak 15 stesen pemancar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau akan di naik taraf bagi membolehkan rangkaian 4G disediakan.

"Kerja-kerja ini akan bermula pada Ogos 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2022. Ia membolehkan penduduk yang sebelum ini melanggan talian Streamyx beralih kepada Unifi yang mampu memberikan akses internet lebih pantas dan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi DUN Jenderak pula, sebanyak dua menara baharu akan mula dibina pada bulan September 2021 dan dijangka siap selewatnya suku ketiga 2022.

Jelasnya, dua menara ini terletak di Kampung Paya Luas dan Kampung Orang Asli (OA) Sungai Pasu.

Mohammad Fakhruddin menambah, kerajaan Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sedang menaiktaraf stesen pemancar di menara sedia ada melibatkan 14 stesen pemancar di beberapa lokasi sekitar DUN Jenderak.

Artikel Berkaitan:

"Kerja menaiktaraf taraf talian tetap di Jenderak ini melibatkan sebanyak 842 premis, kerja-kerja naik taraf ini telahpun bermula pada suku pertama 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2022.

"Antara lokasi yang terlibat adalah Pekan Kuala Krau, Kg Paya Baru, Jalan Kampung Paya Luas, Taman Mewah, Taman Bahagia Kuala Krau, Taman Krau Indah, Kampung Kuala Mai, Kampung Masjid, Felda Jenderak Utara dan Selatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin menjelaskan apabila siapnya inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) ini penduduk di DUN Kerdau dan Jenderak dapat menikmati kemudahan internet yang lebih baik dan stabil.

Ujarnya, ini sekali gus bakal memudahkan urusan seharian mereka termasuk dalam urusan perniagaan serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).