UMNO Perak yakin PN, Muhyiddin hilang majoriti

SAARANI MOHAMAD
SAARANI MOHAMAD
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] UMNO Perak berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, adalah mustahil pentadbiran kerajaan itu masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan sokongan oleh sebilangan ahli Parlimen daripada UMNO.

"Dengan penarikan sokongan beberapa ahli Parlimen UMNO, kami yakin bahawa PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, kepimpinan UMNO negeri menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi menarik sokongan berkenaan selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang mendokong dan mempertahankan Perlembagaan Negara dan Raja Berperlembagaan.

Katanya, kenyataan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga adalah selari dengan keputusan yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lepas.

"Sehubungan itu, UMNO Perak akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri dengan memberikan tumpuan kepada usaha menangani pandemik

Covid-19 serta memastikan nasib rakyat terus terbela," katanya.

Muhyiddin dalam Perutusan Khas pada Rabu menjelaskan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Artikel Berkaitan:

Beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu bahawa sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.