X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

UK tawar vaksin kepada remaja 16, 17 tahun

United Kingdom mengumumkan akan menawarkan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun sahaja, berbanding kebanyakan negara lain yang memutuskan untuk memberi vaksinasi kepada golongan lebih muda. -Foto EPA
A
A

LONDON - United Kingdom semalam, mengumumkan akan menawarkan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun sahaja, berbanding kebanyakan negara lain yang memutuskan untuk memberi vaksinasi kepada golongan lebih muda.

Keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan terbaharu daripada pengawal selia kesihatan British bahawa program vaksin di negara itu perlu dikembangkan kepada mereka yang berusia 16 dan 17 tahun tanpa mengabaikan isu kesihatan selepas pindaan dibuat daripada data terbaharu.

Namun, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) tidak berganjak daripada pendirian mereka bahawa hanya kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun yang dianggap golongan rentan perlu menerima suntikan.

Keputusan itu dilihat berbeza dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan pada Mei lalu, bahawa remaja lebih muda perlu divaksinasi malah pengawal selia perubatan Kesatuan Eropah (EU) juga meluluskan dua suntikan kepada semua yang berusia 12 tahun ke atas.

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid mengesahkan pihaknya sudah menerima cadangan terkini daripada pakar di UK sebelum mengarahkan badan kerajaan, Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) untuk penyediaan vaksinasi kepada golongan sasar itu secepat mungkin.

"JCVI akan terus mengkaji data dan menyediakan maklumat terbaharu mengenai risiko kumpulan berusia 12 hingga 15 tahun dan sama ada perlunya ada penambahan golongan usia lain," katanya dalam kenyataan.

Golongan remaja lebih berusia yang layak akan menerima vaksin Pfizer/BioNTech, yang diluluskan untuk penggunaan di Britain kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas.

Namun, pihak berwajib tidak menetapkan lagi bila sepatutnya mereka menerima dos kedua dengan perkembangan terbaru dijangka dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Timbalan Ketua Pegawai Perubatan England, Jonathan Van-Tam, dalam sesi taklimat yang disiarkan di televisyen mahu NHS untuk memulakan suntikan kepada golongan berusia 16 dan 17 tahun secepat mungkin.

"Persiapan membabitkan pelbagai cabang pilihan untuk beberapa minggu akan datang dan saya menjangkakan program ini akan bermula dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan menyambut baik tindakan itu termasuk pakar kesihatan kanak-kanak dan remaja di Universiti Kolej London, Russell Viner, yang menyifatkannya sebagai tindakan wajar.

"Adalah penting bagi manfaat pendidikan dan sosial untuk melindungi golongan muda sekali gus mengurangkan jangkitan di sekolah," katanya.

Program vaksinasi pantas Britain menyaksikan hampir 89 peratus golongan dewasa sudah divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos manakala kira-kira dua pertiga sudah lengkap mendapat vaksin.

England mula melonggarkan usaha mengekang virus pada 19 Julai lalu dengan kes harian dilihat menurun sekali gus menyaksikan sinar bahawa vaksin mampu menumpaskan Covid-19 di Britain. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!