Agong redakan suhu politik negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi sesi mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi sesi mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi telah berjaya meredakan suhu politik negara. Seri Paduka telah memperkenankan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menentukan keabsahan diri beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Gelora politik negara yang berlaku sejak dua tahun lalu memperlihatkan bahawa peranan yang dimainkan oleh istana amat penting bagi mengimbangi tindak-tanduk pemimpin-pemimpin politik yang ada waktunya kelihatan seperti tidak rasional.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 24 Februari tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya beliau menjadi Perdana Menteri interim sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Seri Paduka juga telah memanggil semua ahli Parlimen dan mendengar sendiri daripada mereka terhadap sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Apabila negara berdepan krisis Covid-19, Seri Paduka sekali lagi membuat keputusan besar dengan memperkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat dapat dilaksanakan. Pada 30 Jun, Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan agar Parlimen bersidang dengan segera bagi membolehkan segala usaha-usaha untuk memulihkan negara dapat dilakukan dengan berkesan.

Ketika ini kita amat yakin Seri Paduka amat mengambil berat situasi semasa negara yang berdepan jumlah kes Covid-19 tinggi walaupun banyak usaha dilakukan. Rakyat sudah lelah dengan apa yang berlaku kerana ramai yang terkesan selepas tidak dapat keluar mencari rezeki.

Malah, Majlis Raja-Raja Melayu juga telah menyatakan pandangan masing-masing supaya kerajaan melaksanakan langkah segera memulihkan masalah yang melanda negara.

Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh di seluruh negeri itu sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, negara berdepan satu lagi krisis politik apabila Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO. Pada sidang akhbar itu juga, Ahmad Zahid mengesahkan surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO mencukupi untuk menzahirkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dengan itu Ahmad Zahid mendakwa kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan. Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan Perdana Menteri untuk menghadap berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau telah menyembah maklum kepada Seri Paduka dan mengesahkan bahawa dirinya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini dan masih lagi sebagai Perdana Menteri.

Justeru, inilah peranan penting yang dimainkan oleh institusi raja di negara ini yang bukan sahaja menjadi teraju penting, malah pelindung untuk rakyat jelata.

Sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pengumuman yang dibuat Muhyiddin semalam, namun semua pihak perlu terima bahawa negara ini masih mempunyai peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

Sejak krisis politik ini berlaku, semua pihak menegaskan bahawa mereka menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan amat menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Jika benar, maka berlapang dada dan tunggu apabila tiba waktu telah ditetapkan untuk menguji sama ada keabsahan yang ada itu ada atau tidak.

Bagaimanapun, dalam tempoh sebulan atau dua bulan dari sekarang, krisis politik negara akan terus berpanjangan dan ia pasti tidak akan menjadi begitu mudah kepada kerajaan PN untuk mentadbir dengan selesa.

Kita amat bimbang Malaysia akan dilanda tiga krisis iaitu krisis politik, krisis ekonomi dan yang paling menakutkan adalah krisis kesihatan.

Jika ahli-ahli politik mengambil jalan untuk terus bertelagah, maka kita semua bakal menyaksikan masa depan yang gelap untuk negara.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian