Azizulhasni jangka saingan sengit Hoogland

Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam peringkat pusingan kelayakan acara pecut di Veledrom Izu, pada Rabu. - Foto Bernama
Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam peringkat pusingan kelayakan acara pecut di Veledrom Izu, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjangkakan yang beliau akan berhadapan laluan sukar pada perlumbaan dengan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland pada saringan pertama Pusingan Ketiga 1/8 acara pecut lelaki di Olimpik Tokyo, pada Khamis

Bagaimanapun Azizulhasni percaya, apa juga boleh terjadi pada perlumbaan yang akan berlangsung di Veledrome Izu, itu.

"Jangan mudah mengalah, terus cuba sebaiknya dan percaya pada diri sendiri,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam channel Youtube Azizul Awang bertajuk ‘Pecutan Hari Pertama | Perjalanan Azizul Awang Mengejar Kilauan Emas’.

Terdahulu Hoogland memecahkan rekod Olimpik bagi acara pecut lelaki apabila mencatatkan 9.215 saat pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni mengesahkan tiket ke pusingan ketiga atau 1/8 itu apabila mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menumpaskan pelumba Kanada, Nick Wammes pada perlumbaan repechage 1/16.

Sementara itu Azizulhasni berkata, beliau sedih kerana tidak dapat memperbaiki masa peribadi terbaiknya pada perlumbaan pada Rabu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu memegang rekod kebangsaan 9.548 saat (s) yang dicatatkan di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman tahun lalu.

Catatan terbaik beliau hari ini ialah 9.626s, yang dicatatkan pada pusingan kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azizulhasni berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan kejayaan beliau dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik Tokyo.

"Teruskan sokong kami, ikuti perkembangan terkini dan terus mendoakan kami. Insya-ALLAH kami akan lakukan yang terbaik esok (hari ini),” kata Azizulhasni.

Muhammad Shah Firdaus pula, berpeluang untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada Harrie Lavreysen juga dari Belanda pada Pusingan Pertama 1/32 pada Rabu, apabila kedua-dua mereka akan bertemu semula pada saringan kedua, Pusingan Ketiga, pada Khamis. - Bernama