Mampukah emas sulung Olimpik dibawa pulang

Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus, Pandelela Rinong
Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus, Pandelela Rinong
A
A
A

BERBAKI empat hari sebelum tirai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirainya, satu-satunya persoalan yang timbul ketika ini - mampukah kontinjen Malaysia mencapai sasaran membawa pulang tiga pingat termasuk satu emas.

Sesudah beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa, kini kontinjen Malaysia menagih kudrat dua jaguh lumba basikal trek – Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus dan ratu terjun, Pandelela Rinong bagi merealisasikan sasaran tersebut.

Nasib kurang baik buat seorang lagi ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong apabila perjuangannya pada temasya Olimpik kali ini berakhir selepas gagal melayakkan diri ke pentas semi final acara 10 meter (m) platform individu.

Realistiknya, tumpuan kini hanya terarah kepada Azizulhasni, Shah Firdaus dan Pandelela untuk menambah koleksi pingat kontinjen Malaysia. Malah, Azizulhasni dan Pandelela dicanang-canang mampu menghadirkan kilauan emas dari bumi Tokyo.

Baik Azizulhasni dan Pandelela, mereka sudah mengucup pingat dalam temasya Sukan Olimpik sebelum ini. Bagi Azizulhasni, dia berjaya menggenggam pingat gangsa dalam acara kegemarannya – keirin pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Pandelela pula berada dalam kelasnya yang tersendiri. Satu gangsa dimenangi pada Olimpik London 2012 menerusi acara 10m platform individu. Satu pingat perak dibawa pulang dalam acara 10m platform seirama ketika bergandingan bersama Jun Hoong pada edisi Rio 2016.

Kejayaan Azizulhasni dan Pandelela itu menyaksikan mereka muncul sebagai atlet pertama dalam acara sukan masing-masing – lumba basikal trek dan terjun meraih pingat di pentas Olimpik. Ia sekali gus menjadi penanda aras buat mereka untuk terus menyumbang pingat Olimpik.

Secara kebetulan, Azizulhasni dan Pandelela sudah beraksi dalam empat temasya Olimpik termasuk edisi Tokyo 2020. Berbekalkan pengalaman luas mereka, bukan sesuatu yang mustahil bagi Azizulhasni dan Pandelela untuk sekali lagi menjadi penyumbang pingat Olimpik kali ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, bukan sesuatu yang mengejutkan jika Shah Firdaus yang lebih dikenali dengan gelaran giant killer mampu mencipta kejutan dengan menyambar pingat di bumi Tokyo.