Empat atlet negara teruskan pemburuan emas Tokyo 2020

No Image Caption
A
A
A

HARAPAN dan tumpuan kini terarah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bagi melaksanakan misi meraih pingat emas Olimpik pertama negara apabila bakal turun bersaing di Izu Velodrome, Shizuoka, esok.

Mohd Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom masing-masing akan turun bersaing menentang barisan jaguh handalan dunia dalam acara pecut individu sebelum meneruskan aksi acara keirin pada 7 dan 8 Ogos.

Selepas tiga edisi Olimpik sejak Beijing 2008 diikuti London 2012 sebelum kejayaan memenangi pingat gangsa keirin di edisi Rio 2016, Mohd Azizulhasni, 33, yang telah dipersiapkan lebih awal menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada di landasan tepat untuk menjayakan misi bersejarah itu.

Juara dunia keirin 2017 itu bersedia sepenuhnya selepas mengharungi tempoh persediaan yang mencabar sejak Rio 2016 melabuhkan tirai dengan sasaran tunggal membawa pulang pingat emas dinanti-nantikan di bumi Tokyo.

Mohd Azizulhasni turut menambah berat badannya sekitar 10 kilogram (kg), terutama jisim otot di bahagian bawah selepas Rio 2016 untuk meningkatkan kekuatannya sekali gus dapat mempengaruhi serta meningkatkan pecutan.

Segala usaha beliau mula menunjukkan hasil apabila catatannya bagi pecutan 200 meter (m) meningkat dari semasa ke semasa hingga kemuncaknya beliau memecahkan rekod Asia, kebangsaan dan peribadi dengan catatan 9.548 saat (s) di Kejohanan Dunia Berlin, pada Mac 2020.

Beliau tanpa berselindung turut menyahut cabaran membawa pulang pingat emas di Tokyo sebagai menyambung harapan negara di temasya terbesar dunia itu selepas persaraan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Namun, kemampuan Muhammad Shah Firdaus tidak boleh dinafikan, malah semangat atlet berusia 25 tahun itu semakin membara menjelang acaranya apabila turut memasang impian meraih pingat pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik.

Artikel Berkaitan:

Tidak boleh dinafikan, Muhammad Shah Firdaus berupaya mencipta kejutan di Tokyo selepas berjaya mengatasi Mohd Azizulhasni dalam beberapa siri perlumbaan dalam persediaan menghadapi Sukan Olimpik.

Lebih mengujakan, peminat sukan tanah air akhirnya dapat menyaksikan penampilan 'senjata rahsia' iaitu basikal model WX-R Vorteq bernilai lebih RM300,000 serta pakaian lumba berteknologi tinggi apabila ia bakal digunakan oleh kedua-dua atlet negara itu untuk membantu mereka mencapai prestasi terbaik.

Teknologi tinggi serta inovasi sukan itu dilakukan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara ISN dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd bermula 2018.

Sementara itu, dua ratu terjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong pastinya mahu menambah koleksi pingat Olimpik di Tokyo kali ini apabila dijadual turun beraksi dalam acara 10 meter (m) platform wanita esok.

Kedua-dua mereka sebelum ini berjaya menyumbang perak buat negara dalam acara 10m platform seirama wanita di Rio 2016.

Pandelela sudah semestinya mahu menebus kekecewaan aksi pertamanya di Pusat Akuatik Tokyo minggu lepas selepas menduduki tempat terakhir bersama Leong Mun Yee daripada lapan pasangan dalam acara 10m platform seirama wanita.

Bagaimanapun, Pandelela, yang pernah meraih gangsa pada London 2012, dilihat antara pencabar kuat bagi acara 10m platform individu wanita untuk Olimpik Tokyo apabila merangkul pingat emas acara berkenaan pada Piala Dunia Terjun FINA di venue sama Mei lalu.

Namun, kelibat Jun Hoong juga harus diberi perhatian selepas beliau adalah penerjun Malaysia yang mengalahkan penerjun China untuk meraih pingat emas pada acara peringkat dunia di Kejohanan Dunia 2017 di Budapest, Hungary.

Penerjun berusia 31 tahun dari Perak itu terpaksa menempuh saat sukar selepas menjuarai kejohanan di Hungary apabila dihimpit dengan kecederaan sejak itu.

Bukan itu sahaja, Jun Hoong hampir terlepas peluang beraksi di Tokyo namun keputusan pada saat-saat akhir Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang membenarkan 18 penerjun terbaik dan bukan hanya 15 penerjun layak ke Olimpik itu membolehkan impiannya kembali menyala untuk beraksi buat kali ketiga di pentas sukan terbesar dunia itu. - Bernama