Pandelela bersyukur mara ke separuh akhir

Pandelela
Pandelela
A
A
A

TOKYO - Ratu terjun negara Pandelela Rinong jelas tidak dapat menyembunyikan perasaannya selepas layak ke peringkat separuh akhir acara 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik Tokyo, petang ini.

Penerjun berusia 28 tahun itu tidak dapat menahan sebak, sambil mengucapkan syukur kerana mendapat ‘peluang’ beraksi di pentas separuh akhir yang akan berlangsung pada 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) Khamis, 5 Ogos.

Pandelela berkata, selepas melakukan terjunan kelima dan terakhir, beliau tidak senang duduk kerana kedudukannya sentiasa berubah sedangkan beberapa penerjun belum membuat terjunan masing-masing.

“Syukur dan terima kasih sangat-sangat kepada mereka yang mendoakan saya (layak ke separuh akhir),” katanya ketika ditemui selepas acara berkenaan.

Pada saingan hari ini, Pandelela yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu pada edisi London 2012, mengutip 284.90 mata selepas lima terjunan.

Pandelela berdepan detik cemas sehingga ke penghujung saingan sebelum layak ke separuh akhir apabila kedudukannya sentiasa berubah, sedangkan beberapa penerjun lain belum membuat terjunan masing-masing di pusingan kelima dan terakhir itu.

Penerjun kelahiran Sarawak itu, akhirnya layak apabila menamatkan pusingan kelayakan tersebut di kedudukan ke-18 yang juga slot terakhir ke separuh akhir.

“Saya seperti nak sakit jantung, cemas hari ini. Kedudukan saya turun naik sebab saya layak pun selepas menduduki tempat ke-18,” katanya yang tekad menampilkan aksi terbaik pada saingan separuh akhir esok.

Artikel Berkaitan:

Pandelela berkata, beliau berpuas hati dengan tiga terjunan awalnya, namun pada terjunan ketiga beliau tidak dapat mengawal pergerakan kerana membuat lonjakan terlalu tinggi sebelum membuat gerakan terjunan.

“Ketika pertandingan macam-macam boleh berlaku kerana kita terlalu teruja. Saya buat apa yang perlu dibuat tetapi lompatan saya pada terjunan ketiga terlalu tinggi daripada biasa, jadi saya tidak boleh kawal terjunan.

“Mujur pada terjunan kelima saya dapat membuat terjunan yang baik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong terkandas pada pusingan kelayakan selepas menamatkan aksi di tempat ke-26 setelah mengumpul 251.80 mata.

Penerjun China, Chen Yuxi mengungguli saingan kelayakan itu selepas mengumpul keseluruhan 390.70 mata diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan dengan catatan 364.45 mata manakala penerjun Amerika Syarikat Delaney Schnell di tempat ketiga dengan 360.75 mata

Ujar Jun Hoong, walaupun gagal mara ke peringkat separuh akhir, beliau tetap bangga kerana dapat beraksi di pentas Olimpik kali ini.

Ujar atlet berusia 31 tahun dari Perak itu, pelbagai dugaan dihadapinya sebelum dapat beraksi di Tokyo, termasuk hanya dimaklumkan kembali layak ke temasya tersebut pada Jun lepas oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

“Bukan senang dapat bertanding di Olimpik, malah perjalanan karier saya dalam tempoh dua, tiga tahun ini pun sukar berikutan kecederaan, nama saya sebelum ini sekejap ada sekejap tiada, itu pun di saat akhir saya boleh beraksi di sini.

“Jadi, saya agak kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri menghadapi Olimpik kali ini. Apa pun inilah keputusan yang saya peroleh dan tiada siapa perlu dipersalahkan. Saya sudah memberi yang terbaik dan tidak berputus asa hingga ke penghujung pertandingan,” kata juara dunia 2017 itu. -Bernama