F&N catat keuntungan bersih RM96.16 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) meningkat kepada RM96.16 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM93.85 juta yang direkodkan semasa suku yang sama tahun sebelum ini.

F&N dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu berkata, perolehan menokok kepada RM1.06 bilion daripada RM918.07 juta disebabkan sumbangan sulung dari anak syarikatnya yang baru diambil alih, Sri Nona,

Pendapatan daripada segmen makanan dan minuman (F&B) Malaysia untuk suku ketiga 2021 naik 17.1 peratus kepada RM540.2 juta daripada RM461.4 juta sebelumnya berikutan peningkatan jualan domestik menjelang Hari Raya Aidilfitri, musim perayaan tuaian dan Bazar Ramadan.

“Jualan musim perayaan Aidilfitri untuk produk minuman dan tenusu adalah lebih baik berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, momentum penjualan positif ini terencat semasa Jun lepas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Penuh.

"Perniagaan makanan (Sri Nona) juga menyumbang kepada pertumbuhan semasa musim Aidilfitri melalui penjualan ketupat termasuk produk lain akibat peningkatan penggunaan dalam rumah," katanya.

F&B Thailand turut menyaksikan prestasi yang sangat memberangsangkan selepas pendapatannya melonjak 13.6 peratus kepada RM517.9 juta menjelang suku ketiga 2021 daripada RM455.8 juta pada suku ketiga 2020 tetapi diimbangi oleh transaksi baht-ringgit yang tidak menguntungkan.

"Sumbangan hasil yang positif dari F&B Malaysia dan F&B Thailand termasuk daripada Sri Nona menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan tahunan hingga tarikh terkini yang mencerminkan kenaikan 6.6 peratus kepada RM3.23 bilion berbanding RM3.03 bilion yang dicatatkan pada 2020," katanya lagi.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan ia tetap berhati-hati dalam unjurannya memandangkan keadaan pasaran yang masih mencabar berikutan peningkatan kes Covid-19 di pasaran utamanya.

Artikel Berkaitan:

F&B akan terus memperkukuhkan asas perniagaannya merancang semula dan mempermudahkan proses, mengoptimumkan sumber daya, mengkaji struktur kos dan melakukan penstrukturan semula jika perlu.

“Kami juga memanfaatkan teknologi dan pendigitalan bagi menambah baik proses dan operasi sebagai wawasan untuk memperincikan pelaksanaan pasaran kami dan memperoleh kelebihan daya saing.

"Tonggak Makanan Halal baru kami akan menyediakan platform untuk kami berkembang ke dalam segmen makanan halal yang lebih besar dan penawaran produk yang inovatif," katanya. - Bernama