'Akuan bersumpah PM pegang sudah lapuk'

Shahrir Samad, Muhyiddin - Foto Bernama
Shahrir Samad, Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang majoriti untuk memerintah negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, seramai 14 ahli Parlimen UMNO sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Beliau mendakwa, akuan bersumpah (SD) dimiliki Muhyiddin sebelum ini sudah tidak boleh dipakai selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan pada Selasa.

"Tan Sri Muhyiddin dan kerajaannya sebenarnya sudah hilang majoriti untuk memerintah. Macam mana boleh kata masih ada majoriti 115 (ahli Parlimen menyokongnya)?

"Ahli Parlimen daripada UMNO yang menarik sokongan seramai 11 orang selepas mesyuarat MKT semalam. Tiga lagi (menarik sokongan) selepas itu menjadikan jumlah kesemuanya adalah 14.

"SD yang Perdana Menteri pegang itu sudah pun lapuk selepas mesyuarat MKT," katanya menerusi Facebook miliknya pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO secara maya.

Ketika mengumumkan penarikan sokongan itu, turut kelihatan berada bersama Ahmad Zahid ialah 10 ahli Parlimen parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mereka ialah Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Azalina Said Othman (Penggerang), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengemukakan surat akuan ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, perkara itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.