Pengasas Rumah Bonda mohon dapatkan semula hak jagaan 5 anak angkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Siti Bainun, 29, dan empat ibu kandung anak angkatnya memfailkan permohonan itu melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini pada 2 Ogos lepas menerusi Tetuan Chambers of Aminahtul Mardiah dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Kesemua pemohon diwakili peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor manakala Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Noor Afdzan Mohd Sahandrigani, Asiah Bachok dan Mohd Imran Mohd Zanyuin bertindak bagi pihak responden.

Dalam permohonan itu, Siti Bainun dan empat ibu kandung anak itu memohon perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak itu yang kini diberikan kepada beberapa buah rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021, dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mahu hak jagaan diberikan kepada pihak pemohon (Siti Bainun).

Sementara itu, Nur Aminahtul ketika ditemui pemberita berkata pada Rabu, sepatutnya pendengaran permohonan itu kerana pihaknya memfailkan perakuan segera.

“Bagaimanapun, pihak JKM tidak bersedia dan mahu membalas afidavit yang difailkan pihak kami. Jadi mahkamah menetapkan satu tarikh lain (14 September) untuk pendengaran permohonan tersebut," katanya ketika ditemui selepas prosiding kes tersebut di hadapan Majistret Norfarahain Roslan.

Nur Aminahtul berkata, lima anak jagaan yang dituntut itu berusia antara dua hingga 16 tahun yang kesemuanya sebelum ini di bawah jagaan Siti Bainun dengan dua daripadanya adalah sindrom down.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami juga telah membuat permohonan interim untuk Siti Bainun mendapatkan akses kepada lima anak ini kerana beliau tidak pernah diberi akses kepada mereka sejak diambil pihak JKM pada 16 Julai lepas.

“Pada hari ini, mahkamah telah mengeluarkan perintah untuk membenarkan Siti Bainun mengakses lima anak angkatnya melalui panggilan video, penghantaran lampin pakai buang, susu untuk anak sindrom down dan peranti untuk dua anak yang bersekolah bagi proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Pada pertengahan Julai lepas, media melaporkan seorang wanita yang juga pengasas Rumah Bonda ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang remaja orang kurang upaya (OKU).

Polis juga memohon supaya wanita itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu, bagaimanapun Mahkamah Majistret menolak permohonan tersebut berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari wanita itu ditahan. - Bernama