ASP mengaku tidak bersalah terima rasuah RM35,000

Kompleks Mahkamah Butterworth
Kompleks Mahkamah Butterworth
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas dituduh menerima rasuah bernilai RM35,000 pada 2018.

Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menyetujui untuk menerima suapan RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdaganan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 terhadap Muhamad Hisham.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini kira-kira jam 12 tengah hari pada 5 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Ameyrudin didakwa secara rasuah menerima suapan RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta jenis Perodua Axia di hadapan premis Hometown The Houseware Outlet di daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira jam 4.30 petang pada 7 Ogos 2018.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Shahrullah Khan.

Ameyrudin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, usaha jurugambar merakam foto tertuduh tidak berhasil apabila dia dikatakan keluar melalui pintu belakang mahkamah sejurus selepas membayar jaminan.