Mayat bayi ditinggalkan di tangga dengan nota

Mayat bayi lelaki ditemui di tangga sebuah bangunan di Bundusan, Penampang. Sekeping nota ditinggalkan di dalam beg yang mengandungi mayat bayi berkenaan.
Mayat bayi lelaki ditemui di tangga sebuah bangunan di Bundusan, Penampang. Sekeping nota ditinggalkan di dalam beg yang mengandungi mayat bayi berkenaan.
A
A
A

PENAMPANG - Seorang penghantar barang terkejut apabila menemui sebuah beg mengandungi mayat bayi yang ditinggalkan bersama sekeping nota di tangga sebuah bangunan di Bundusan pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.57 tengah hari itu, penghantar makanan dikenali sebagai Aaron Sydny, 28, berkata, dia menemui beg mengandungi mayat bayi itu di tangga bangunan berkenaan ketika mahu mengambil barang daripada pelanggannya.

"Terdapat sekeping nota bertulis 'tolong call (hubungi) polis atau imam' di dalam bungkusan berkenaan.

"Sebaik membaca nota itu, saya terus menghubungi polis tanpa melihat objek di dalam beg tersebut," katanya.

Menurut Aaron, kejadian itu pertama kali dalam hidupnya sejak tiga tahun bekerja sebagai penghantar barang di kawasan berkenaan.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan mengambil barang dan ternampak bungkusan bersama nota berkenaan.

"Sebaik membaca nota itu, dalam fikiran saya sudah menjangka ada bayi dalam bungkusan itu. Saya terkejut dan menggigil apabila dimaklumkan ada bayi di dalamnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Aaron memaklumkan dia kemudian diminta hadir ke balai polis untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

Penemuan bayi yang dikongsi di Facebook miliknya tular dan menarik perhatian warganet sejak tiga jam lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim mengesahkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima maklumat berhubung penemuan seorang bayi lelaki itu.

"Mayat bayi lelaki itu dijumpai di dalam sebuah beg plastik yang diletakkan di tangga berhampiran sebuah premis di kawasan tersebut.

"Pasukan perubatan mengesahkan bayi tersebut baru dilahirkan dan meninggal dunia dalam tempoh kira-kira enam jam sebelum dijumpai dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Penampang di talian 088-723961 atau pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, Inspektor Azerina Ali Omar di talian 014-6535238.