'Semua pihak perlu bertenang, jangan cetus krisis politik baharu'

Normala Sudirman
Normala Sudirman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri meleraikan kekusutan politik semasa dan semua pihak perlu bertenang serta tidak cuba mencetuskan krisis politik baharu.

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, kestabilan politik amat diperlukan ketika ini dalam membantu Perdana Menteri menguruskan negara dalam keadaan kes Covid-19 meningkat.

"Janganlah ada pihak yang cuba-cuba keruhkan keadaan. Cukup-cukuplah, semua pihak perlu tumpu masalah rakyat dan selesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhyiddin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Rabu.

Dalam pengumuman tersebut Perdana Menteri menegaskan akan menentukan keabsahan dalam sidang Parlimen September ini.

Sementara itu, Normala mendakwa, pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak serius membawa isu berkenaan Covid-19 dan masalah rakyat malah mensia-siakan peluang yang ada semasa sidang khas Parlimen hujung bulan lalu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat Johor berkata, buktinya boleh dilihat semasa persidangan khas Parlimen yang berlangsung selama lima hari dari 26 hingga 29 Julai lalu.

"Apa yang paling mendukacitakan ruang yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat tidak dimanfaatkan sebaiknya akibat mabuk kuasa tanpa menyelami denyut nadi kesusahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Paling menyedihkan ketika Perdana Menteri meminta sidang dewan membaca Al-Fatihah dan bertafakur mendoakan mangsa Covid-19 yang telah meninggal dunia, ahli Parlimen PH membuat bising dan langsung tidak menghormati saranan Perdana Menteri.

"Ini jauh berbeza berbanding pendidikan sivik yang telah diajar di sekolah agar murid menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.

Katanya, Wanita PN Johor optimis dan percaya bahawa sikap ahli-ahli Parlimen PH yang menyerlahkan sikap seperti itu menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap mereka.

"Tidak mustahil kebencian itu akan diterjemahkan menerusi peti undi untuk memilih kepimpinan yang jauh lebih berwibawa dan berintegriti berbanding mereka, "katanya.