Pas Johor tunggu arahan Pas Pusat

Gambar kecil: Abdullah Husin
Gambar kecil: Abdullah Husin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor akan memutuskan pendirian termasuk kedudukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor dalam masa dua atau tiga hari lagi selepas mendapat arahan Pas Pusat.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya kini hanya menunggu perbincangan dan keputusan Pas Pusat untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini keadaan tenang dan terkawal. Pas Johor masih sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana masih mendapat majoriti sokongan.

"Pas Johor juga setakat ini tiada apa-apa perbincangan terkini mengenai kerjasama Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya masih punyai kepercayaan majoriti, kata Muhyiddin

Keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal: UMNO

Pada Rabu Muhyiddin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Dalam pengumuman tersebut Perdana Menteri menegaskan akan menentukan keabsahan dalam sidang Parlimen September ini.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Pada 12 Julai lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh dilaporkan berkata, empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika kepimpinan di peringkat Pusat bertukar.

Artikel Berkaitan:

Abdullah dilaporkan berkata, tiada Menteri atau Timbalan Menteri daripada Pas Johor yang dilantik dalam kabinet Perdana Menteri dan begitu juga tiada ADUN Pas yang dilantik menjadi Exco di peringkat negeri.

Sementara itu, usaha mendapatkan penjelasan Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Ir Md Nasir Hashim berhubung khabar angin beberapa ADUN Bersatu Johor akan membuat pengumuman tergempar dalam masa terdekat, tidak berjaya apabila beliau gagal dihubungi.