X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan air dari rumah ke rumah dihantar ringankan beban penduduk

Pasukan sedang mengisi air ke dalam tangki sebelum dibawa ke rumah penduduk yang terjejas.
A
A

KUALA NERUS – Satu pasukan khas yang menghantar bekalan air dari rumah ke rumah diwujudkan bagi membantu meringankan beban penduduk di 15 kawasan di Tepoh yang terlibat dengan gangguan bekalan air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia sebagai bantuan tambahan dan sokongan terhadap tangki air yang disediakan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dan agensi lain terlibat.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 kenderaan iaitu pacuan empat roda dan lori yang membawa tangki kecil berisi air terlibat dalam gerakan menghantar bekalan air itu.

“Pasukan ini bergerak dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Selain bekalan air bergerak, kita turut menempatkan tangki statik di kawasan perumahan dan perkampungan yang terjejas mengikut populasi,

“Ini antara bantuan segera yang disalurkan dan gerak kerja berfokus telah dimulakan di semua lokasi yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dijangka pulih 8 Ogos

Hishamuddin berkata, pihaknya turut membekalkan tiga buah mesin air untuk memudahkan pengisian air ke dalam tangki di beberapa lokasi kritikal.

Hishamuddin (tengah) meninjau kerja-kerja pembekalan air sementara kepada penduduk yang terjejas.
Hishamuddin (tengah) meninjau kerja-kerja pembekalan air sementara kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, usaha lain dilakukan adalah kebenaran Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan air melalui pili bomba dan bekalan air dari sekolah.

“Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus juga turut memberi kebenaran kepada penduduk berhampiran mendapatkan air di tangki sekolah-sekolah dalam kawasan Tepoh dalam tempoh gangguan bekalan ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan gangguan bekalan air melibatkan 28,700 akaun di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah dijangka kembali pulih pada 8 Ogos nanti.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja membaiki paip itu dianggarkan mengambil masa antara empat hingga lima hari bergantung kepada tahap kerosakan paip dan keadaan sungai.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 25 kawasan di Kuala Nerus iaitu keseluruhan Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuruh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Bagi daerah Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas adalah Buluh Gading Masjid, sebahagian Banggol Peradong, Buluh Gading Dewan, Kampung Manir, Kampung Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kampung Kebor Air, Paya Datu, Kampung Telok Menara dan Jeram.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!