Norhizam selesa sebagai ADUN bebas

Norhizam
Norhizam
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

Beliau yang juga ADUN Pengkalan Batu berkata, dalam keadaan sekarang beliau akan terus memberi sokongan terhadap kepimpinan sedia ada terutama UMNO.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana memikirkan sekarang bukanlah masa untuk berpolitik namun merasai denyutan nadi rakyat yang ramai terkesan disebabkan pandemik Covid-19 sehinggakan ada yang kehilangan pekerjaan.

Katanya, sebagai wakil rakyat Bebas beliau tidak mahu mengeruhkan keadaan atau menjadi batu api dan apa yang lebih penting adalah menjalankan tugas membantu rakyat.

"Saya sokong kerajaan yang ada sekarang ini, maknanya kerajaan negeri masih stabil dan jika tiada sokongan mungkin tidak stabil.

"Tidak perlulah bergaduh, kita fokuskan kepada rakyat yang perlukan bantuan," katanya ketika ditemui di Kompleks JAPERUN Pengkalan Batu, di Bachang, di sini pada Rabu.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu berkata, beliau turut menghormati kenyataan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Ghafaar Atan yang menyatakan beliau akan menyertai UMNO.

"Saya menghormati kenyataan beliau yang lebih berpengalaman, apa pun tunggu keputusan saya, mungkin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: