X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Sidang khas Parlimen mesti diadakan sebelum 9 Ogos: Pembangkang

Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim, Shafie Apdal
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang berpendapat bahawa sidang khas Parlimen mesti diadakan dengan segera iaitu tidak lewat dari 9 Ogos ini.

Menurut kenyataan bersama parti pembangkang, ia adalah berasaskan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap perdana menteri.

“Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap perdana menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September.

“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Kenyataan itu ditulis oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut sama, Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Presiden Parti Sarawak Bersatu, Baru Bian; Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik, Syed Saddiq dan Parti Bebas, Dr Maszlee Malik.

Menurut kenyataan itu, desakan tersebut mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak Covid-19 yang terus meningkat selain situasi ekonomi yang terus lesu dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang.

“Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawasanya usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekali gus menamatkan isu keabsahan perdana menteri,” ujar mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!