X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan ketat kawalan susulan serangan di sempadan Thailand

Kawalan di sempadan Malaysia-Thailand diperketatkan susulan insiden serangan di Narathiwat, Thailand. Gambar hiasan
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kubang Pak Itam, Pasir Mas susulan insiden serangan di Narathiwat, Thailand yang mengorbankan seorang anggota tentera negara itu dan mencederakan empat yang lain.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menjalankan siasatan di Pangkalan Haram Ikan Kering dalam jarak 40 meter bertentangan dengan lokasi kejadian di Thailand.

Menurutnya, tentera Thailand mendakwa serangan dilakukan oleh kumpulan pemisah Thailand dari tebing sungai Malaysia di pangkalan haram itu tetapi dakwaan berkenaan didapati tidak berasas.

“Serangan ke atas Pos Operasi Tempur Thailand di Ban Khebeh Mu 1, Mukim Nanak, Tak Bai, Narathiwat, Thailand berlaku pada jam 2.19 pagi Selasa.

“Bunyi tembakan dan letupan bom didengari di beberapa kampung di sempadan sebelah Malaysia semalam 45 minit mengakibatkan satu kematian anggota Tentera Thailand dan empat tentera mereka cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, siasatan di Pengkalan Haram Ikan Kering mendapati tiada bukti sama ada kelongsong peluru atau kesan tembakan di lokasi itu.

“Dakwaan yang dibuat tidak mempunyai asas yang kukuh kerana tidak ada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak tentera Thailand.

“Polis bagaimanapun memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan kedua-dua negara dengan melakukan pemantauan secara berterusan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!