'Muda takkan korbankan prinsip dan maruah untuk kerajaan PN'

Syed Saddiq - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Syed Saddiq - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetap berpegang kepada prinsip dan tegas dengan keputusan tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul berkata, mereka akan tetap setia kepada perjuangan parti itu.

"Muda tidak akan mengorbankan prinsip dan maruah untuk menyokong PN," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Ahli Parlimen Muar itu hadir bersama Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pada jam 3 petang di IPD Dang Wangi bagi melengkapkan siasatan berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka di sini pada Isnin.

Kedua-dua mereka turut memaklumkan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Menurut Hannah, beberapa ahli Parlimen juga telah membuat laporan polis sebelumnya terhadap seorang menteri kabinet berkaitan isu menangani pandemik Covid-19.

"Kami tidak mengetahui status siasatan tersebut namun berharap polis mengambil tindakan yang tepat," katanya.

Seramai enam ahli Parlimen pembangkang dipanggil untuk dirakam percakapan pada Rabu manakala Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua turut hadir memberi keterangan kira-kira jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan: